Categories
SELANGOR

Petaling catat 1,456 kes denggi, tertinggi hingga 17 Januari

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 28 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan membabitkan penyertaan Jawatankuasa Penduduk (JKP) dalam gerak kerja pencegahan denggi setiap minggu.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pembabitan JKP penting dalam program menangani wabak berkenaan kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mencatatkan kes tertinggi bagi daerah Petaling.

denggi“Kita sudah buat keputusan dalam mesyuarat majlis, JKP kena buat program pencegahan di kawasan masing-masing.

“Selama ini yang terbabit dalam program seperti ini adalah agensi kerajaan. Kini, kita mahu membimbing penduduk setempat dan mereka terbabit sama,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kaedah itu dianggap akan memberikan kesan lebih baik dan menyeluruh dalam menangani wabak denggi.

“Malah, bukan sahaja setiap minggu kerana JKP boleh terus bertindak jika terdapat kawasan air bertakung,” katanya.

hishamMPSJ menganjurkan bengkel bagi mengenal pasti punca atau masalah, membincangkan serta mencari resolusi dalam menangani isu berkenaan kes demam denggi di kawasan pentadbiran MPSJ, pada 22 dan 23 Januari lalu.

Berdasarkan laporan laman sesawang Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor, http://www.jknselangor.moh.gov.my, 3,033 kes denggi kumulatif didaftarkan di negeri itu dengan daerah Petaling mencatat angka tertinggi iaitu 1,456 kes, sehingga 17 Januari lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.