Categories
NASIONAL

Demokrasi perlu diperluas elak keganasan berulang

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 20 JAN : Peningkatan kecenderungan golongan muda Islam terhadap ekstremisme adalah disebabkan kurangnya ruang demokrasi bagi mereka memperjuangkan agama melalui saluran yang betul.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata kebanyakan golongan yang ingin memperjuangkan Islam melihat bahawa saluran demokrasi yang kononnya boleh memberi kebebasan bersuara tidak dihormati malah dikhianati.

khalid samadKatanya kerajaan harus membenarkan amalan demokrasi itu berkembang dan terlaksana dengan baik supaya pemuda Islam yang mempunyai cita-cita politik menggunakan lunas kebebasan bersuara secara betul.

“Contoh terbaik adalah seperti yang berlaku di Mesir apabila setelah mencapai kemenangan, golongan pro Islam dikenakan rampasan kuasa dan disokong dunia barat serta Islam.

“Hal itu menyebabkan pemuda Islam yang ingin melihat Islam lebih berperanan menganggap pendekatan demokrasi tidak berhasil,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Kenyataan Khalid yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu adalah merujuk kepada serangan bersenjata yang disyaki dilakukan kumpulan bersenjata Islam ke atas majalah satira Perancis, Charlie Hebdo sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 12 nyawa.

Charlie Hebdo (Mingguan Charlie) terkenal kerana mencetus kontroversi dengan mempersendakan pemimpin politik dan pemimpin agama serta menerbitkan banyak kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad.

Dalam pada itu, beliau berkata penyelesaian terhadap perkara berkenaan dengan pelaksanaan pelbagai akta seperti Akta Anti Keganasan akan lebih menyempitkan ruang demokrasi sedia ada.

Beliau turut mengulang pendirian bahawa PAS mengutuk serangan pengganas dan pelampau yang bertindak keterlaluan kerana ia mencemar imej Islam.

“Kalaulah golongan pelampau itu bertindak untuk hentikan penghinaan terhadap Islam, sebenarnya tindakan mereka merosakkan imej Islam itu lebih teruk.

“Tindakan itu seolah-olah memberi mesej kepada orang muda bahawa ia adalah sesuatu yang wajar sedangkan ia sebenarnya merugikan Islam sendiri,” katanya lagi.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.