Categories
NASIONAL

Ekstremisme: Khalid Samad mahu debat dengan Eric Paulsen

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 JAN : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menawarkan dirinya untuk berdebat bersama Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berhubung isu ekstremisme sekiranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) enggan menyertainya.

Beliau berkata ia bagi menerangkan pandangan peguam itu yang sebelum ini mendakwa timbulnya usaha menanam permusuhan di antara agama melalui penyampaian khutbah Jumaat.

khalid samad“Jakim seharusnya menerima tawaran itu bukan untuk bergaduh tetapi untuk menjelaskan apa niat dalam khutbah yang mereka tulis di beberapa masjid di Wilayah.

“Ini adalah peluang dakwah keemasan yang boleh kita sampaikan bahawa Islam bukan hendak cari musuh tetapi mahukan perdamaian.

“Tetapi sekiranya Jakim tidak sanggup, maka saya boleh cadangkan diri saya sebagai wakil untuk berforum dengan Paulsen bagi memperjelaskan isu menanam permusuhan yang kononnya terkandung dalam khutbah Jumaat itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, sekiranya Paulsen sendiri keliru terhadap kandungan khutbah Jumaat yang disediakan Jakim, maka tidak mustahil terdapat umat Islam yang terkeliru .

Justeru katanya penjelasan daripada Jakim diperlukan bagi memastikan kekeliruan atau salah faham berhubung isu agama dapat dileraikan.

“Kes ini berlaku hasil daripada kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa akan wujud ‘Islamic State’ (IS) di Malaysia dan ia harus ditangani dengan mencadangkan akta antikeganasan.

“Apabila Paulsen keluarkan kenyataan, beliau tiba-tiba ditahan dan didakwa di bawah Akta Hasutan sedangkan ia adalah satu debat dengan Hishammuddin tentang cara untuk menghalang terhasilnya ekstremisme,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) boleh dijadikan platform bagi memperjelaskan kepada umum berhubung dakwaan Paulsen kononnya Jakim mempromosi ekstremisme.

Ahmad Shabery berkata kesediaan RTM menjadi platform perdebatan adalah bagi memperjelaskan isu berkenaan dan ia bergantung jika Jakim ataupun pihak lain turut bersetuju untuk tampil memperjelaskan isu itu.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.