Categories
SELANGOR

Rizab berhampiran pangsapuri Jalan Pandan Indah akan dijadikan parkir

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cempaka mempertimbangkan cadangan menggunakan rizab sungai dan jalan raya berhampiran pangsapuri kos rendah di Jalan Pandan Indah sebagai parkir.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, cadangan itu dilihat wajar kerana penduduk terpaksa meletakkan kenderaan secara bertindih sehingga menghalang laluan utama pangsapuri itu.

Beliau menjelaskan pangsapuri 940 unit itu hanya menyediakan 300 tempat letak kenderaan sedangkan rata-rata penduduk memiliki lebih dari satu kenderaan.

IMG_1164“Pernah terjadi situasi di mana bomba dan ambulans tidak dapat masuk ke kawasan pangsapuri untuk memberi bantuan.

“Cadangan penduduk adalah supaya menggunakan dua rizab terbabit untuk dijadikan tempat meletak kenderaan dengan anggaran 180 unit  tempat letak kereta tambahan.

“Oleh kerana kawasan cadangan itu tidak bertutup dan sementara, jadi ia boleh dipertimbangkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak bagi menyelesaikan masalah parkir di Jalan Pandan Indah 3/3 itu.

Tinjauan media bersama Adun Cempaka itu mendapati kawasan cadangan parkir kenderaan itu kini dijadikan tempat letak barangan oleh kontraktor sampah lantikan MPAJ.

Beliau akan meminta MPAJ memindahkan kontraktor terbabit ke kawasan lain.

“Saya hendak selesaikan banyak masalah parkir dan akan mengambil ketetapan supaya perkara ini dapat selesai secara keseluruhan membabitkan semua pangsapuri di Selangor.

IMG_1166“Kita akan bincang perkara ini kerana kebanyakan rumah kos rendah mengalami masalah sama,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk Wan Ghazulee Zain berharap supaya masalah itu dapat diselesaikan segera kerana sudah berlarutan, sejak lima tahun lalu.

“Masalah ini sudah lama tetapi tidak ramai yang tampil membuat aduan jadi ia senyap begitu sahaja.

“Saya benar-benar berharap perkara ini akan selesai bagi memastikan penduduk dapat meletak kenderaan mereka dengan selamat dan teratur,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.