Categories
SENI

CERPEN: Kelorok

Oleh Roslan Jomel

Sepanjang hidup, aku tidak pernah menggunakan Kelorok. Aku diberitahu Kelorok memutihkan pakaian.

Sebagai lelaki sedikit pengotor, isteri aku melarang membeli pakaian berwarna putih. Disebabkan itu aku lebih kerap berpakaian warna hitam. Berpakaian gelap sebegitu amat sesuai dengan sikap kera sumbang aku.

Suatu hari aku teringin tahu cara menggunakan Kelorok. Isteri aku berkata, sediakan separuh air dalam baldi. Kemudian tuangkan sedikit Kelorok. Tetapi apa hendak diputihkan? Warna kulit?

Pagi Ahad yang sunyi. Di dalam bilik air berbau hancing. Aku dan seorang tawanan sudah seminggu berada di sebuah banglo kosong dua tingkat di atas bukit. Tawanan itu belum tahu mengapa dia diheret ke sini.clean-pix

Dia aku dudukkan di atas kerusi kayu. Kedua-dua tangannya diikat dawai berkarat. Mulutnya aku tutup dengan pelekat. Agar tawanan itu tidak membalas apabila aku menumbuk muka dan memakinya. Namun sehingga kini aku belum bertindak kasar.

Kini aku berpakaian serba putih. Aku bimbang jika tersentuh apa-apa kotoran yang mencemarkan pakaian di tubuh.

Demikian tujuh hari aku berulang-alik dengan kereta setelah balik dari kerja untuk ke lokasi rahsia. Tujuh hari aku mensia-siakan kesempatan. Tujuh hari berterusan aku membawa balik ke rumah sebotol besar bahan peluntur jenama Kelorok.

Apa dijawab jika isteri bertanya? Bodoh. Aku terlalu bertimbang rasa. Hati aku masih lembut untuk menyelesaikan hayat seseorang. Itulah dilema yang membantutkan usaha hero masyarakat seperti aku.

Tawanan itu pasti tertawa melihat kecanggungan aku. Dengan penampilan kemas dan pakaian putih berseterika, aku tidak tergamak melakukan sesuatu kejahatan. Aku tidak ubah seperti badut di mata tawanan. Sial sungguh penampilan kemas sebegini.

Kebiasaan pada pagi Ahad, aku dan isteri bersarapan di kafe Chawan Bangsar. Duduk menghirup kopi sambil menyelak akhbar-akhbar berbahasa Inggeris. Bayar guna wang kertas bernilai RM100. Kemudian minum petang di Starbuck. Sebelum menonton wayang di GSC MidValley.

Lupa masalah harian. Hipokrit seperti warga kota yang lain. Sedangkan kekayaan menjulang di depan mata aku. Tetapi siapakah empunya? Kekayaan bakal dinikmati bersama-sama. Siapa berkata demikian? Aku hanya berada di bawah bayang-bayang. Tertekan.

Apa aku dapat bekerja seperti lembu di pejabat milik orang Barat? Bertahun-tahun menghuni di rumah sewa. Esok lusa bakal dirobohkan demi projek kroni.

Tetapi aku di sini seperti orang gila. Membawa botol Kelorok dengan tanda harga masih melekat di atas tudungnya. Sebulan lepas aku dan isteri membelinya dari pasar raya Mydin. Tiga botol.

Aku yang beria-ia mahukannya. Urusan membunuh tawanan itu sepatutnya selesai dalam masa sehari. Apa sukarnya membunuh orang seperti tawanan itu? Dalam masa sekurang-kurangnya sejam lebih. Bergantung pada keberkesanan Kelorok. Tiada saksi.
Tawanan itu akan menggelupur di atas kerusi. Dalam filem Sympathy For Lady Vengeance, watak utama mencampurkan cecair pemutih pakaian dalam minuman kepada musuhnya. Mati.

Jika belum juga mati, dia menghentak berkali-kali kepala tawanan itu dengan penukul besi. Mudah. Aku boleh memandu balik ke rumah. Cuci tangan, bersihkan diri. Kemudian menonton bola sepak liga EPL di ruang tamu. Dan berlagak tiada apa-apa berlaku.

Malangnya aku terlalu bimbangkan banyak perkara. Berfikir itu ini. Bil elektrik. Perang di Syria, Paris Hilton berparti di Malaysia. Dari hari ke hari sehingga seminggu berlalu. Tawanan aku dalam keadaan sihat.

Aku bawa makanan dari restoran terpilih untuknya. Jus buah dalam kotak. Justeru tawanan aku tidak berasa takut apa-apa. Kelemahan aku menjadi kekuatannya. Tidak gentar kerana lelaki seperti aku tidak akan sanggup mencederakan sesiapa pun.

Inilah sedih andai berkaca mata tebal. Orang menganggap wajah sedemikian berhati baik. Berbudaya tinggi. Prihatin dengan penderitaan manusia lain. Tunjuk garang pun orang tidak percaya.

Aku sedar telah diperkecil-kecilkan. Kali ini, tawanan itu mesti dihapuskan segera. Keluarganya pasti membuat laporan polis. Tempoh mengurung tawanan sudah terlalu lama.
Risiko tertangkap semakin meninggi. Kesan jari aku diimbas menggunakan komputer.
Tapak kasut, tayar kereta, rekod panggilan telefon dan segala kemungkinan dianalisis mengesan dalang. Ini membuatkan aku bertambah kecut. Terfikir seksaan di penjara. Aku memilih Kelorok sebagai senjata termurah. Bahkan mendapat diskaun setengah harga kalau membeli lebih daripada sebotol.

Pistol? C4? Tidak mungkin aku mampu memilikinya.

Setelah dia mati meminum Kelorok, aku menghinanya lebih dahsyat lagi. Mengerat tubuhnya menjadi lapan bahagian. Daging tubuhnya dibungkus dalam plastik seperti makanan anjing. Bungkusan itu aku lemparkan di depan pagar kediamannya. Biar seluruh negara gempar menemui mayatnya yang berulat. Parasit seperti dia tidak diperlukan di muka bumi.

Tahun 2020, masyarakat tidak lagi mahu terseret dalam permainan politik. Negara tanpa parti. Itulah misi besar aku. Aku perlu memburu lebih ramai lagi. Terutamanya yang berlidah biawak. Sudah lama aku memusuhi golongan bertali leher dan berkot mahal.

Merekalah selama ini bertopengkan pembela rakyat. Merekalah selama ini kau tonton seharian di skrin televisyen berdiskusi dengan bahasa ilmiah dan mengawal fikiran rakyat. Dinosaur. Relik dari zaman korupsi.

Pada pagi Ahad, dalam pasar raya. Aku tidak mahukan pewangi Romano. Sebaliknya Kelorok. Isteri aku membantah. Dia tahu aku suka berkhayal. Selama ini kami di rumah menggunakan serbuk pencuci. Murah. Selamat.

Tiada siapakah mengerti perjuangan aku? Tanpa menunggu isteri membayar harga barangan di kaunter, aku membuat muka masam sambil melangkah laju ke dunia hitam di luar sana.

Leave a Reply

Your email address will not be published.