Categories
SELANGOR

Kidex: Laporan aliran trafik MBPJ selesai

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 29 JAN: Laporan berhubung kajian aliran trafik bagi pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dilakukan badan perunding bebas lantikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selesai sepenuhnya, awal Januari lalu.

Pemangku Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib berkata, laporan itu akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi tindakan selanjutnya melalui mesyuarat exco, selewat-lewatnya hujung Februari ini.

kidex2Katanya, kajian aliran trafik terhadap lebuh raya berkenaan juga akan dipaparkan di laman sesawang MBPJ untuk rujukan dan makluman orang ramai.

“Kita sudah mengadakan pertemuan bersama penduduk sekitar kawasan terlibat bulan lalu selepas beberapa siri mesyuarat di peringkat majlis berlangsung.

“Lanjutan itu, satu kertas akan disediakan pada Februari untuk makluman dan jika keputusan atau kelulusan dibuat, maka ia perlu melalui pindaan Rancangan Tempatan untuk mendapat pelan baru.

“Proses kelulusannya bergantung kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, kita hanya memproses permohonan yang akan dimajukan kepada pihak majlis,” katanya.

Lebuh raya bertingkat sepanjang 13.5 kilometer yang menelan kos RM2.42 bilion itu menimbulkan pelbagai kontroversi dan mendapat tentangan penduduk di Petaling Jaya.

MBPJBagaimanapun, Kidex memaklumkan lebuh raya itu akan memendekkan masa perjalanan hampir 25 peratus antara Damansara dan Kinrara  apabila siap empat tahun lagi, selain masa perjalanan Puchong ke Petaling Jaya dikurangkan sehingga 50 peratus.

Antara kawasan yang terlibat dengan projek lebuh raya itu adalah Petaling Jaya Selatan (PJS), Lebuh Raya Pantai Baru (NPE), Seksyen 52, Seksyen 13, Seksyen 14, Seksyen 17, Seksyen 19, Lebuh Raya Sprint dan Bandar Utama, manakala selebihnya di kawasan Subang Jaya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.