Categories
SELANGOR

Kompaun patut dinaikkan hingga RM2,000 cegah denggi

Oleh: NAEEM RAFFI

BANDAR SUNWAY, 31 JAN : Kompaun bagi kesalahan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit, 1975 bagi tujuan kawalan wabak denggi berjumlah RM500 patut di tingkatkan kepada RM1,500 hingga RM2,000.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh cadangan itu diambil memandangkan nilai kompaun sedia ada (RM500) tidak cukup mengerakkan penduduk untuk lebih serius dan prihatin dalam soal pencegahan denggi ini.

DENGGI GRAFIK“Saya panjangkan perkara itu kepada Ahli Parlimen Kelana Jaya untuk membincangkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Penduduk perlu mainkan peranan, kalau mereka gagal mengubah sikap dan hanya bergantung kepada semburan kabus (fogging) semata-mata untuk cegah denggi, masalah tidak akan selesai malah akan berulang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Suai Kenal dan Apresiasi Media MPSJ, di sini semalam.

Hadir sama Yang dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Hannah berkata, sikap penduduk tidak memberi kerjasama dan mengambil bahagian dalam gotong-royong antara penyebab usaha membanteras denggi dengan cara itu tidak mencapai matlamat.

“Sudah letih, hampir setiap minggu kita lancarkan gotong-royong tetapi kes denggi masih berlaku dan berulang di kawasan yang sama.

“Ada kediaman yang kita dapati kotor, tetapi enggan memberi kerjasama ketika gotong-royong dijalankan malah tidak keluar rumah dan mengunci pagar,” katanya.

Kes denggi di wilayah seliaan MPSJ mencatatkan jumlah tertinggi tahun ini berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor.

Berdasarkan laporan laman sesawang Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor, sehingga 17 Januari lalu, sejumlah 3,033 kes denggi kumulatif didaftarkan di negeri itu dengan daerah Petaling mencatat angka tertinggi iaitu 1,456 kes dimana MPSJ merekodkan 543 kes demam denggi termasuk dua kematian dilaporkan.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Nor Hisham berkata pihaknya memutuskan supaya Jawatankuasa Penduduk (JKP) mempergiatkan lagi pelaksanaan program gotong-royong setiap minggu bagi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan denggi.

“Orang awam beranggapan usaha menghapus denggi cukup sekadar semburan kabus, sebaliknya kita lebih percaya dengan kerjasama dan keperihatinan setiap penduduk untuk cari dan musnah kawasan pembiakan nyamuk, masalah denggi dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Setiap kali usaha ini diambil, sebahagian besar yang terlibat dalam gotong-royong adalah kakitangan jabatan sebaliknya penduduk memang kurang,” katanya.

Sebelum ini, MPSJ menganjurkan bengkel bagi mengenal pasti punca atau masalah, membincangkan serta mencari resolusi dalam menangani isu berkenaan kes demam denggi di wilayah seliaannya, pada 22 dan 23 Januari lalu.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.