Categories
SELANGOR

MBSA bantu kerja pembersihan pasca banjir Gua Musang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 JAN: Pasukan bantuan kemanusiaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini giat menjalankan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Gua Musang.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, pasukan khas itu dihantar bagi menghulurkan bantuan serta mempercepatkan kerja-kerja pembersihan untuk memudahkan penduduk sekitar kembali mendiami rumah masing-masing.

Banjir MBSAKatanya, pihaknya turut mendapatkan kerjasama Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) untuk menentukan lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan.

“Antara kerja pembersihan dilakukan adalah membersihkan kawasan berlumpur, membersihkan sampah sarap khususnya sampah pukal seperti almari, katil, tilam, sofa, meja makan, barangan dapur dan sebagainya di kawasan Taman Mesra.

“Dengan bantuan dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi sedikit harapan kepada mereka serta mengembalikan semangat mereka yang hilang akibat banjir besar yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pelepasan konvoi ini disempurnakan oleh Timbalan Datuk Bandar, Mokhtar Hani, pada 7 Januari lepas lepas di hadapan laluan pandu masuk, Wisma MBSA di sini.

Pasukan MBSA yang dianggotai 45 orang itu diketuai oleh Pegawai Penguatkuasa, Rozaidi Ahmat dan dijadual berada di sekitar Daerah Gua Musang selama seminggu.

Bagi melancarkan kerja-kerja pembersihan, pasukan ini dilengkapi dengan sepuluh buah kenderaan terdiri daripada sebuah bas, dua buah kenderaan pacuan empat roda, satu unit lori tangki air, dua unit lori ‘open tipper’, dua unit lori RORO dan dua unit jentera jengkaut.

Selain itu, MBSA turut menyumbangkan 20 buah tong sampah beroda untuk kegunaan mangsa banjir di pusat penempatan dan disampaikan kepada Yang DiPertua MDGM, Zainal Abidin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.