Categories
SELANGOR

Nelayan gembira terima bantuan peralatan, tekad kerja lebih gigih

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LANGAT, 22 JAN: Tiada yang lebih menggembirakan nelayan di Kampung Kelanang, di sini apabila menerima bantuan peralatan dan kelengkapan untuk membantu menambah hasil tangkapan sekaligus meningkatkan taraf kehidupan ke arah lebih baik.

YB Zaidy sampaikan sumbangan bot dan enjin kepada nelayan (1)Pertemuan Selangor Kini bersama beberapa nelayan yang menerima bantuan itu mendapat reaksi positif apabila rata-rata di antara mereka memuji usaha Kerajaan Negeri yang komited terhadap usaha meringankan beban nelayan.

Bagi Murugay a/p Sinappan, 49, keprihatinan Kerajaan Selangor dalam membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya dihargai dan dialu-alukan.

Beliau yang sudah bergiat aktif sebagai nelayan sejak 25 tahun lalu bertekad untuk menggunakan peralatan yang diterima sebaik mungkin bagi memastikan hasil tangkapan yang diperolehi akan terus meningkat.

YB Zaidy sampaikan sumbangan bot dan enjin kepada nelayan (15)“Saya gembira kerana menerima bantuan enjin seperti ini, lebih-lebih lagi saya memang amat memerlukannya untuk digunakan di sampan bagi urusan menangkap ikan.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih atas kesudian Kerajaan Selangor untuk membantu golongan nelayan berpendapatan rendah seperti kami,” katanya.

Seorang lagi penerima, Ruslan Hashim, 40, berkata bantuan peralatan itu sememangnya amat diperlukan untuk membolehkan beliau bekerja lebih keras bagi mendapatkan hasil.

Katanya kebanyakan nelayan terpaksa mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli peralatan tambahan memandangkan tiada bantuan seperti itu pernah diberikan sebelum ini.

YB Zaidy sampaikan sumbangan bot dan enjin kepada nelayan (13)“Saya bersyukur kerana terpilih untuk menerima bantuan peralatan daripada Kerajaan Negeri kerana ia jelas membuktikan pemerintah sekarang serius mahu menolong golongan susah seperti kami,” katanya yang sudah menjadi nelayan sejak 20 tahun lalu.

Seramai 18 nelayan di Kampung Kelanang menerima bantuan berupa peralatan serta kelengkapan menangkap ikan sumbangan Kerajaan Selangor sebagai usaha meningkatkan hasil pendapatan sekaligus membasmi kemiskinan.

Setiap nelayan diberikan peralatan secara percuma termasuk sampan dan enjin sangkut berbeza kapasiti yang diserahkan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.