Categories
SELANGOR

Perpustakaan patut seiring revolusi maklumat

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 31 JAN: Seiring dengan gelombang revolusi pencarian maklumat, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) perlu meneroka bidang teknologi dan digital bagi memastikan kelangsungan peranannya sebagai gedung ilmu.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebagai institusi paling strategik mendidik dan membangunkan modal insan, PPAS wajar mendepani setiap cabaran dalam memastikan peranannya sebagai ‘prevention center’ dekat dihati semua lapisan masyarakat.

PPAS“Perpustakaan mempunyai peranan yang lebih mencabar apabila Internet menjadi pencetus revolusi pencarian maklumat. Gelombang revolusi ini sudah tentunya menuntut perpustakaan agar melakukan perubahan segera supaya kekal relevan sebagai institusi maklumat untuk masyarakat.

“Ini kerana perpustakaan mampu mendidik hati dan jiwa masyarakat melalui suasana persekitarannya yang kondusif, layanan kakitangan yang mesra dan prihatin, koleksi buku dan bahan bermaklumat yang memperkaya minda, serta prasarana dan kemudahan yang selesa, bersih dan terkini untuk menambah nilai kehidupan,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2015 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang turut di hadiri Pengerusi PPAS, Dr Halimah Ali dan Pengarah PPAS, Mastura Muhamad.

Beliau menambah, meskipun medium kini semakin berubah, amalan pembacaan kekal penting, bukan sekadar menyebarkan maklumat tetapi ilmu yang berteraskan hikmah atau wisdom.

“Membaca adalah amalan yang penting. Tidak ada peradaban yang bangkit tanpa membudayakan ilmu dan pembacaan.

“Justeru saya menyeru ibu bapa untuk mengamalkan budaya membaca bermula di rumah. Sebagai bapa muda dengan anak yang kecil, saya tahu lebih mudah meninggalkan anak di rumah dengan gadget terkini tetapi ibu bapa mestilah menanam amalan ini dari awal,” katanya.

Terdahulu, kesemua jemputan dan dif-dif terhormat menyertai sesi rehat sambil membaca selama 15 minit sebagai kempen dengan mesej memupuk budaya membaca.

Pesta Buku Selangor 2015 dengan temanya ‘Evolusi Buku dan Digital’ merupakan penganjuran kali ke-10 sejak dilancarkan pada 2006.

Pesta buku kali ini disertai 80 pempamer dengan 150 booth jualan dari pelbagai syarikat penerbit tempatan dan pengedar buku seperti Kumpulan Karangkraf, Cerdik Publication, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Penerbitan Pelangi, PTS Media Group, dan E-Media Publication.

Di samping itu, ruang khas untuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) turut disediakan sebagai kemudahan kepada rakyat Selangor.

Pelbagai aktiviti menarik diaturkan sebagai pengisian pesta buku yang berteraskan konsep kewangan, kerjaya, kekeluargaan, kesihatan dan spiritual.

Di antaranya ialah Rahsia Makanan Sunnah (As-Sunnah Marketing), Formula Transformasi Kejayaan dan Keberkatan (Dr. Azizan Osman); Demo Jahitan Jubah Mudah (Yasalma); Teknik Fotografi (Sweet Picture); Workshop on Early Childhood Development “Love Languages (Puan Rozita Abdullah); Sharing Genius Aulad Parenting Tips.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.