Categories
SELANGOR

Projek Datum Jelatek pemangkin ekonomi bumiputera

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Projek Datum Jelatek di Taman Keramat, di sini, dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertujuan memangkin pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat khususnya bumiputera.

Ketua Pegawai Operasi DatumCorp International Sdn Bhd (DatumCorp), Shytul Shahryn Mohamad Shaari, berkata pihaknya menafikan dakwaan sesetengah pihak terdapat unit hartanah projek itu dijual kepada pihak atau bangsa asing.

Datum Jelatek“Maklumat penjualan kepada pihak atau bangsa asing disebarkan di sekitar Keramat dan berhampiran adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata, keraguan mengenai peluang bumiputera memiliki hartanah di Datum Jelatek berikutan harga dikatakan tinggi juga tidak timbul dan pihaknya mendapat maklum balas positif daripada golongan berkenaan.

Katanya, sehingga 14 Januari lalu, 1,097 pendaftaran dicatatkan di kalangan pembeli bumiputera berbanding 674 unit ditawarkan dan ia melepasi kuota ditetapkan.

“Berdasarkan statistik yang ada, kalau bumiputera mampu untuk membeli semua unit-unit ini, bagi saya tiada masalah.

“Kuota ini ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu 50 – 50,” katanya.

Datum JelatekShytul Shahryn berkata, berdasarkan sesi pertemuan diadakan di kalangan penduduk, projek itu jelas mendapat sokongan dengan lebih 60 peratus penduduk setempat di Taman Keramat dan sekitarnya dan mengalu-alukan usaha PKNS itu.

Katanya, secara umum mereka berpuas hati dengan penerangan diberi dan mengakui pembangunan terbabit bakal memberi manfaat kepada masyarakat di sekitar kawasan berkenaan terutama genenasi muda di situ.

“Projek ini akan menberi manfaat besar daripada segi menyediakan peluang pemilikan hartanah, peluang perniagaan dan kontrak susulan yang akan wujud di situ. Ia contoh pembangunan diesprasikan Kerajaan Negeri yang memberi nilai tambah kepada penduduk setempat.

“Pakar hartanah juga menjangkakan apabila projek ini disiapkan, ia mampu meningkatkan nilai hartanah pada kadar 50 peratus,” katanya.

Datum Jelatek dilaksanakan PKNS menerusi anak syarikat, DatumCorp adalah perkongsian bijak antara Kerajaan Negeri, PKNS dan penduduk sekitar.

Harga ditawarkan adalah antara RM500,000 hingga RM2 juta seunit di mana 57 peratus unit dijual di bawah RM630,000 manakala 83 peratus unit di bawah RM1.3 juta. Hanya kira-kira lima peratus unit dengan harga RM2 juta.

Semua harga terbabit tidak termasuk diskaun 10 peratus dikhususkan untuk bumiputera.

Pulangan daripada projek Datum Jelatek akan digunakan sepenuhnya PKNS untuk membiayai projek rumah mampu milik di seluruh Selangor.

PKNS terus komited menyediakan perumahan untuk rakyat berpendapatan sederhana dan rendah dan dalam tempoh 2008 hingga 2030, PKNS merancang dan melaksanakan pembinaan secara beperingkat.

Kira-kira 31,000 unit rumah mampu milik dengan subsidi RM1 bilion akan ditanggung PKNS.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.