Categories
SELANGOR

Sita lori sampah, MPSJ bawa kes sampah haram ke mahkamah

Oleh: HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 29 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menyita lori dan membawa kes ke mahkamah dalam usaha menangani masalah sampah haram secara berperingkat.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, keputusan itu bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah sampah di seluruh Selangor.

cari sampah a“Pada Ahad lalu (25 Januari), kita sudah membuat beberapa tindakan di beberapa kawasan dan melihat banyak sampah dibuang terutama di tebing dan rizab sungai.

“Kita juga mengesan dua lori sampah haram. Tiada lagi kompaun dan kita akan bertindak membawa kes ke mahkamah serta serius dengan isu sampah haram,” katanya.

Mengikut peraturan, pesalah akan didenda RM1,000 bagi setiap kompaun, manakala denda maksimum RM2,000 dikenakan kepada pesalah apabila kes dibawa ke mahkamah.

hisham1Beliau berkata, kes sampah haram agak membimbangkan dan mesyuarat bersama beberapa agensi berkaitan memutuskan perobohan dan rampasan tanah melalui Pejabat Tanah dan Daerah (PTD).

Katanya, rampasan tanah boleh dilakukan jika kawasan berkaitan adalah tanah persendirian dengan tindakan diambil di bawah Seksyen 127 Kanun Tanah Negara 1965.

“Kita akan mengatasi masalah ini dan mungkin akan bina lanskap di kawasan sesuai supaya tidak lagi digunakan sebagai tempat pembuangan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.