Categories
KENYATAAN MEDIA

Struktur semula Bajet 2015, segerakan Sidang Khas Parlimen

Oleh: Datuk Mahfuz Omar

Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak bahawa beliau akan membuat kenyataan rasmi berkenaan keadaan ekonomi negara pada minggu hadapan termasuklah kemungkinan pengstrukturan semula Bajet 2015, maka PAS dengan ini menggesa suatu Sidang Khas parlimen dipanggil dalam tempoh yang segera.

Hal ini kerana sebarang perubahan terhadap Bajet 2015 yang sudah dibentang dan diluluskan pada tahun lepas itu hendaklah dibuat melalui proses tatacara yang betul khususnya dibawakan kembali ke institusi Parlimen.

PAS dan Pakatan Rakyat di peringkat awal lagi mengingatkan kerajaan pimpinan PM Najib agar Bajet 2015 yang dibuat itu mestilah mengikut unjuran semasa harga minyak.

Ketika Bajet 2015 dibentang dan dibahaskan, harga minyak sudah pun berada pada paras USD 86 setong, namun bajet yang diluluskan itu masih berdasarkan unjuran USD105 setong.

Telahan PR itu terbukti berasas apabila hari ini harga minyak jatuh menjunam sehingga USD46 setong iaitu kadar penurunan lebih daripada 50%. Hal ini, pasti memberikan impak besar terhadap Petronas sebagai penyumbang utama tradisi kepada pendapatan negara.

Bagai jatuh ditimpa tangga, kedudukan nilai matawang Ringgit Malaysia terus jatuh dengan kedudukan paling lemah sejak September 2009 dan Malaysia yang paling teruk terjejas di Asia Tenggara ini.

Kerajaan BN mungkin masih berada di dalam ‘denial syndrome’ iaitu menafikan hakikat ekonomi kita dalam keadaan kritikal dan parah. Bahayanya penyakit ini jika terus dibiarkan akan menyebabkan langkah mengubatinya nanti sudah pun terlewat.

Tambahan pula, kita baru sahaja dilanda musibah besar banjir yang mengakibatkan kerugian berbillion Ringgit dan pastinya kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan luar jangka.

Justeru, PAS memohon PM Najib agar segera memanggil Sidang Khas Parlimen agar pihak kerajaan dan pembangkang dapat sama berbincang dan berbahas untuk mencari solusi kepada isu ekonomi negara yang kian meruncing ini.
* Datuk Mahfuz Omar adalah Ketua Penerangan PAS dan Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

Leave a Reply

Your email address will not be published.