Categories
NASIONAL

Anwar dipenjara atau tidak, rakyat tetap ingin perubahan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 FEB: Rakyat tetap akan berdiri teguh di belakang Pakatan Rakyat (PR) tanpa mengambil kira apa akan berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Februari ini.

Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan berhubung kes Fitnah 2 yang disabitkan ke atas Anwar yang membabitkan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, PR akan terus maju ke hadapan kerana apa yang berlaku bukan soal sokongan untuk seseorang individu sama ada Anwar didapati bersalah atau sebaliknya.

Anwar“Ini akan menambah kekuatan desakan untuk perubahan. Suasana politik yang wujud sekarang adalah pembangkang mendapat sokongan undi 53 peratus bukan kerana Anwar, ia disebabkan rakyat inginkan perubahan.

“Maka, keputusan itu tidak akan mempunyai kesan signifikan terhadap keinginan dan kebangkitan rakyat yang ingin perubahan.

“Jangan anggap Anwar dipenjarakan, desakan untuk perubahan akan berakhir sebaliknya akan bertambah kuat kerana jelas terbukti ketidakadilan berlaku,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Khalid berkata, kebanyakan rakyat boleh bercerita berkenaan kes itu dan banyak tanda tanya timbul menjadi persoalan umum seperti pertemuan Saiful Bukhari dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum kejadian.

khalid samadSelain itu, pertemuan dengan polis penyiasat dan beberapa isu lain termasuk pakaian dalam dipakainya.

“Yang paling menghairankan, semua orang akan sebut adakah wajar selepas diliwat, minum kopi dan makan biskut dengan Anwar. Anwar pula bercerita berkenaan agama bersamanya dan dia pula datang terus bekerja macam biasa,” katanya.

Beliau berkata, kecuali terdapat jawapan wajar terhadap kes itu maka rakyat akan menganggap ia adalah drama ulangan menunjukkan betapa Umno-BN begitu terdesak dan menggunakan institusi kehakiman untuk menumpaskan lawan politik mereka

“Bukan Anwar sahaja yang sedang dibicarakan tetapi mahkamah dan kerajaan itu sendiri sedang dibicarakan.

“Rakyat sedang menunggu untuk melihat sejauh mana institusi kehakiman adakah bebas dan tiada campur tangan eksekutif di dalamnya,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.