Categories
EKONOMI

CATATAN PERJALANAN: Bermulanya sebuah kayuhan

Ekspedisi berbasikal UK-Malaysia seperti  diceritakan  Badrul Hisham Baharuddin

Siri 1

Ketika mula mengaturkan persiapan, barulah saya sedar impian ini lebih sukar daripada gambaran awal. Ia memerlukan persiapan rapi bukan sekadar duit, basikal dan peralatan perkhemahan tetapi persiapan fizikal dan mental yang kuat.

Lagipun, aktiviti lasak agak asing buat ulat buku seperti saya. Saya lebih gemar menghabiskan masa menelaah buku di perpustakaan berbanding menyertai aktiviti lasak yang memerlukan ketangkasan dan kecergasan fizikal.

Malah, berbasikal pun bukan aktiviti utama; sekadar suka-suka mengisi waktu lapang di petang hari. Tidak pernah tahu bagaimana menukar tayar basikal, tidak terfikir untuk mengenali alat ganti, jauh sekali jenama basikal terkemuka.

Semua berubah selepas saya kemalangan ketika berbasikal menuju ke arena IceSheffield pada musim sejuk lalu.

Kecederaan menyebabkan saya terpaksa berehat panjang di rumah dan menghabiskan masa depan televisyen. Ketika itulah, dokumentasi pengalaman seorang penunggang basikal menjelajah dunia mencuri tumpuan.10442382_1053812251312601_48313844007028978_n

Saya mula terdetik, kalau dia boleh, mengapa saya tidak?

Namun – belumpun memulakan kayuhan ekspedisi, saya menghadapi banyak cabaran. Mungkin disebabkan jarang menyertai aktiviti lasak. Akibatnya, saya mengalami kecederaan tendon. Sampai demam gara-gara cuba membuat kayuhan jarak jauh.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat saya. Sebaik pulih daripada kecederaan, latihan diteruskan. Malangnya, saya cedera lagi, cuma tidaklah sampai demam.

Aspek pemakanan sangat penting. Sebelum ini, saya tidak kisah sangat tetapi demi mencapai impian, saya mulai mengambil berat supaya kekal cergas dan memiliki tenaga mencukupi.

Saya juga mempersiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan perkhemahan. Ia pasti banyak membantu sepanjang penjelajahan kelak.

Antara cabaran lain, yang lebih penting ialah mendapatkan basikal bersesuaian. Masakan tidak, basikal yang ada; yang saya beli dengan harga 50 Pound melalui jualan lelong tentu tidak sesuai.

Saya memerlukan basikal ‘touring bike’ yang lazimnya berharga ribuan ringgit. Nasib baik – seorang rakan mahasiwa jurusan perubatan dari Dubai bermurah hati menghadiahkan basikal terpakai ‘touring bike’ berjenama Specialist berharga RM3,000.

Selain basikal, sumber kewangan juga antara masalah utama. Sebagai mahasiswa, saya tidak ada mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk menampung perbelanjaan ekspedisi.

Keadaan jadi bertambah rumit apabila saya tidak ada rekod melakukan ekspedisi berbasikal sebelum ini, sekaligus menyebabkan sukar memperoleh penajaan.

‘Bro Yunus’

Saya bersyukur kerana dapat mengumpul sedikit dana bagi membiayai misi melalui sumbangan orang ramai khususnya dalam kalangan rakan mahasiswa.

Lebih bernasib baik apabila saya secara kebetulan berkenalan dengan rakan kepada bapa saudaranya bernama Yunus dari Malaysia. Beliau ada datang melawat saya sebelum jelajah bermula.

Saya tidak kenal sangat Yunus yang saya dipanggilnya ‘bro’ itu.
Selepas berkenalan lebih rapat, barulah tahu lelaki itu sebenarnya (Datuk) Dr Ahmad Yunus Hairi, ketika itu memegang portfolio Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor.

Mungkin gaya dan penampilan Yunus yang ‘low profile’ dan bersahaja menyebabkan saya tidak mengecamnya sebagai seorang exco. Agak lucu juga.

Dr Ahmad Yunus ada menghulurkan sumbangan kewangan untuk membiayai ekspedisinya. Akhirnya saya dapat mengumpul RM8,000 untuk kegunaan sepanjang ekspedisi.

Walaupun jumlah itu sebenarnya agak kecil, saya berpuas hati dan yakin ia mencukupi jika dibelanja secara berjimat.

Selepas lapan bulan bertungkus lumus membuat persiapan, sayapun pada pagi tanggal 1 Ogos memulakan kayuhannya dengan ditemani rakan dari Kelab Sick Siders Malaysia, sayapun memulakan kayuhan.

Akan datang: Hari-hari ‘telan’ pasta dan tuna

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.