Categories
SENI

Lelaki yang bertengkar dengan bahasa

Oleh Ismail Suhadi

(i)

Jika kita tanya, siapa antara Chairil Anwar atau T. Alias Taib yang lebih dikenali, atau setidaknya, ingat – tak kiralah sepotong sajak saja sekalipun – pasti nama penyajak dari seberang itu akan lebih dulu disebut.

Tulisan ini bukanlah berniat untuk merendahkan jawapan tersebut, atau mencuba untuk mengatakan kredibiliti Chairil sebagai lebih rendah (apalagi murahan) berbanding T. Alias Taib.

Bukan. Saya tak berminat dengan perang antara negara nusantara ini yang tak munasabah. Sebaliknya saya hanya cuba-cuba nak mengintai punca di sebalik jawapan tersebut.

Sebagai seorang pembaca yang sangat janggal dengan sajak dari tahun-tahun 90-an dan ke belakang, dan hanya terbiasa membaca penyajak kontemporari seperti penyajak dari rumah penerbitan Jargon Books, Shaira Amira dan Hafiz Hamzah, pertembungan saya dengan sajak-sajak T. Alias Taib sangat diraikan.

Ada kekuatan yang saya tak sangka-sangka ada di dalam sajak penyajak Malaysia muncul di sajak beliau.

Beliau menggunakan kata-kata seharian, istilah-istilah pasar, untuk melengkapkan sajak-sajaknya. Agak sukar untuk saya berjumpa dengan istilah yang melambung-lambung dari beliau. Mungkin kerana kebanyakan sajaknya hanya ingin bercerita tentang hal-hal yang selalu diremehkan atau dilupakan.

Perhatikan sebagai contoh, sepotong sajaknya berjudul Ia Mendedahkan Susunya Suatu Malam:

ia mendedahkan susunya
suatu malam
kepada seorang lelaki remaja
lelaki desa
terbaring di sisinya

berahi menggelincir

Sajak ini sedang cuba bercerita, dengan selamba, tentang kisah kelamin seorang perempuan dan seorang lelaki di sebuah desa – yang sebenarnya begitu melanggar tabu. Kerana persetubuhan bukanlah sesuatu yang diriuhkan dalam masyarakat desa. Apa lagi untuk dimuatkan di dalam sajak.

alias-16aug2006-150327Pada sajak tersebut, kebolehan T. Alias Taib memanipulasi bahasa untuk menjelaskan niatnya di dalam sajak yang dikarangnya, kelihatan. Ini dibuktikan dengan frasa ‘berahi menggelincir’. Kita tak terbiasa dengan frasa sebegitu. Berahi biasanya digandingkan dengan perkataan yang menggambarkan sifat api, contohnya ‘berahi membara’.

Ini sesuai dengan sifat berahi itu sendiri yang digambarkan sebagai sesuatu yang menggelegak, atau panas. Tetapi di dalam frasa ini, beliau mengambil jalan lain. Barangkali juga tujuan beliau adalah untuk menjimatkan kata-kata demi menerangkan sesuatu yang biasanya berjela iaitu, dalam hal ini, proses jatuh cinta. Jatuh cinta selalu diterangkan dengan pepatah dari mata turun ke hati.

Dan ‘turun’ itu, beliau manipulasikan sebagai platform untuk beliau menjelaskan bahawa ada berahi sedang menggelincir masuk melalui mata menuju terus ke dalam hati antara dua pihak iaitu lelaki dan perempuan. Menggelincir, bertentangan dengan turun, menunjukkan sesuatu yang sedang menuju ke bawah dengan pantas.

Dalam kata lain, dengan sangat ekonomis, T. Alias Taib menggandingkan berahi dengan sifatnya yang panas digandingkan dengan perbuatan menggelincir yang begitu terburu-buru atau pantas di dalam satu frasa. Dan kita tahu, antara mereka, nafsu bukanlah sesuatu yang mampu diempang lagi.

Tapi, seperti yang dah ditegaskan dari tadi, tulisan tak berniat nak membandingkan atau mengkritik sajak-sajak dua penyajak tersebut. Melainkan, untuk menyiasat, atau lebih mudah kata, menawarkan alasan mengapa T. Alias Taib dengan kemampuannya, seperti telah dilupakan di negaranya sendiri.

(ii)

Alasan ini muncul tak semena-mena dari borak-borak dengan rakan-rakan di sebuah perpustakaan universiti yang dingin. Seorang rakan, dari Indonesia, mengenali Chairil dari sekolah rendahnya lagi. Puncanya? Sajak-sajak Chairil diajarkan di bilik darjah (yang mungkin lebih hapak dari sekolah di Malaysia).

Rakan tersebut mengenali Chairil dan tidak Pramoedya Ananta Toer (Pram) tokoh sastera yang besar namanya kerana Pram (atas sebab sejarahnya) tidak diajari di sekolahnya.

Bila berborak tentang Indonesia, penting untuk dinyatakan rakan saya belajar di Sulawesi, wilayah yang begitu jauh dari pusat pemerintahan Indonesia, Jakarta. Dan di sana, mereka tidak akan mengenali tokoh-tokoh sastera baik dari dalam atau luar Indonesia, tak kira berapa besar namanya, kecuali diajari di bilik darjah.

Hasilnya, mereka di sana lebih mudah menghafal sajak-sajak Chairil Anwar berbanding mengeja nama penuh Pram. Dan sajak-sajak itu mereka bawa sampai ke ruang yang lebih besar, universiti misalnya, walaupun yang mereka pelajari di situ tidak ada hubungkaitnya dengan sastera.

Jika kita bandingkan hal yang sama di negara kita. Kita hanya mengenali ‘orang-orang tua sastera’ dan jika ada pun nama mereka begitu kabur di ingatan (tanya saja dengan kawan-kawan luar dari pengajian sastera). Barangkali nama yang paling melekat di kepala tanpa fikir panjang adalah A. Samad Said – itu pun namanya diingati bukan kerana novelnya, atau puisinya, tetapi aktiviti politiknya.

Kita ada percubaan-percubaan untuk menyuntik masuk sastera ke bilik darjah, melalui Komponen Sastera (KOMSAS) yang memberikan sajak, hikayat, cerpen dan novel terpilih untuk para pelajar.

Tetapi akhirnya percubaan ini menjadi banal, malah mengundang kontroversi tak perlu (ingat Interlok?) kerana fikiran pelajar sudah dipasak begitu teguh untuk hafal luar kepala saja moral, plot, watak dan perwatakan dari sajak, hikayat, cerpen dan novel yang ada itu sebagai persediaan peperiksaan.

Dengan menyeragamkan semuanya, ianya membunuh sifat sastera yang asalnya adalah dinamik dan penuh ruang untuk tafsiran.

Kalau pun ada usul untuk menjadikan KOMSAS sebagai subjek luar dari fokus peperiksaan, tujuan asalnya untuk memperkenalkan sastera kepada para pelajar akan tetap berakhir sebagai kegagalan – mereka tak akan fokus di kelas, dan guru-guru pun akan lebih berminat untuk ajarkan mereka Matematik atau Sains (subjek fokus peperiksaan) di periode KOMSAS.

(iii)

Di dalam filem Ada Apa Dengan Cinta, Rangga dan Cinta bertemu disebabkan lomba puisi, yang menurut kepala sekolah mereka, diadakan untuk mengingatkan diri mereka bahawa negara mereka memiliki khazanah bangsa yang begitu berharga iaitu Bahasa Indonesia.

Mungkin kalau yang berkata-kata itu pengetua saya, saya pun akan jerit I Love You, Pak Taufiq! Tak pedulilah betapa pondan bunyinya itu.

Filem tersebut bukan saja tawarkan cerita cinta dewasa yang berselindung di balik kisah anak remaja dan imej-imej Rangga dan Cinta tetapi juga sajak-sajak Indonesia – lebih tepat lagi, sajak-sajak Chairil Anwar.

Rasanya jika kita tanya diri sendiri dan rakan sekeliling yang asyik bersajak sendu di dalam ruang sesempit 140 patah perkataan, kita pasti hanya kenal Chairil Anwar setelah menonton filem yang asyik menyelitkan wajah penyajak besar itu di kocek pelakonnya.

(iv)

Pengaruh adalah hal yang besar dan mustahak jika menyentuh perihal seni, termasuklah sajak. Pengaruh biasanya datang melalui seseorang. Berkenaan sajak, biasanya kita akan lebih mudah terpengaruh dengan hal yang paling permukaan sekali iaitu bahasa. Maka dengan meminati Chairil, pengaruhnya yang paling permukaan pastilah bahasa penggunaannya, iaitu bahasa Indonesia.

re_buku_picture_77666Jadi kita mengerti, mengapa ada ‘butuh’ tiba-tiba berbaris dengan bahasa Malaysia di sebuah sajak. Dan kita juga mengerti, melalui penempelan membuta tuli dan berterusan bahasa Indonesia ke dalam sajak-sajak warga Malaysia, mereka dengan sedar atau tidak sedang mengakui apa yang dikatakan Pak Taufiq – bahawa bahasa Indonesia, telah menjadi khazanah mereka juga.

Tetapi barangkali tak ada masalah besar jika hal ini dilakukan dengan sedar kerana bahasa yang hendak digunakan menjadi hak individu tersebut (dan kita sebagai pembaca boleh saja menolaknya, tak ada masalah).

Ia berubah menjadi masalah ketika hal ini dilakukan kerana ianya sesuatu yang hip dan bahasa Indonesia saja yang difahami sebagai bahasa yang indah. Dan inilah yang sedang berlaku dengan meluas. Pengaruh Chairil tersekat di tahap bahasa penggunaannya dan bukan pemikirannya.

Mungkin kita menyangka dengan menekap masuk bahasa Indonesia itu ke dalam sajak-sajak kita, ianya selesai di situ juga. Ianya prasangka yang sangat juling. Chairil menyuntik masuk pemikirannya ke dalam sajaknya, tetapi bagaimana sajak penulis yang terperangkap dalam ruang lingkup pengaruh bahasa yang sempit, boleh dipercayai fikirannya?

Sebab itu tak ramai yang sedar, ketika seorang pembaca di pelosok kampung membaca sajak karangan warga Malaysia, tidak ada yang indah ketika mereka membaca ‘butuh’ menyelit di situ. Kerana ketika penulis ingin menyampaikan rasa keinginannya, pembaca kebarangkalian akan bayangkan sesuatu berjuntai.

(v)

Jika sebelum ini kita hanya mampu berangan-angan sampai mimpi basah untuk menjadi Rangga berpoketkan AKU, sekarang ini, disebabkan adanya orang tengah, mimpi itu seolah-olah sudah berada di dalam jangkauan. Kita dengan senang boleh baca buku sajak Chairil Anwar, Aku Ini Binatang Jalang yang kulitnya tidak lain adalah wajah selenga pengarangnya sendiri.

Kita tak ada masalah memilikinya bukan saja kerana ada orang tengah, tetapi juga kerana penerbitnya tak ada hal untuk terbitkan buku itu.

download (1)Tapi di mana buku T. Alias Taib? Lelaki yang mati dalam sujudnya, ketika baru saja hendak berangkat melawat kiblat sajak-sajaknya. Lelaki yang bercerita tentang asap yang menggeliat, dan ombak yang berguling itu. Lelaki yang menghabiskan hidupnya bertengkar dengan bahasa.

Di mana Pasar Pengalaman? Pemburu Kota? Seberkas Kunci? Piramid? Petang Condong?

Barangkali kalau tidak di simpanan penerbit yang entah di mana kuburnya, buku-bukunya berada di bangunan DBP yang juga entah di mana itu. Terperosok jauh di timbunan-timbunan buku-buku lain yang pernah diterbitkan ketika DBP adalah nama yang terbilang.

Mungkin turut terlibat sama adalah buku Usman Awang (sedangkan beliau begitu terkenal jika nak dibandingkan dengan T. Alias Taib) – sama-sama sedang hisap rokok, bermain pakau, sambil menyerahkan nasib mereka di tangan rumah penerbitan yang susunya sedang dipulas birokrasi.

Kita pun tak mampu nak buat apa, melainkan menunggu kalau-kalau keajaiban berlaku, dan buku-bukunya diterbit ulang. Biar kita yang tersengguk-sengguk dalam kekeliruan tahu bahawa bahasa Melayu juga ada keindahannya sendiri. Biar kita tahu, bahasa kita sendiri (walau sedang berkecamuk) juga adalah khazanah yang tak ternilai.

T. Alias Taib tidak dikenal namanya, apatahlagi sajak-sajaknya, kerana didalangi oleh beberapa perkara yang telah saya sebutkan sebelum ini. Ianya bukan sesuatu yang mutlak melainkan sekadar alasan yang diteroka melalui borak-borak, dan menung yang panjang.

T. Alias Taib dipilih kerana kehilangannya dari perbendaharaan bacaan anak-anak muda adalah sesuatu yang mengecewakan.

Kita tak ada kuasa mutlak ke atas hal-hal yang lain – sistem pendidikan, kelemahan DBP – tetapi kita ada kemampuan untuk meneroka khazanah sastera kita. Internet tidak wujud semata-mata untuk mengumpat di laman sosial sahaja.

Juga selain itu, ada beberapa ruang fizikal seperti Buku Jalanan, Puisi Satu Petang, dan Hello Poetry (sekadar menyebut beberapa nama) yang boleh dimanfaatkan.

Ruang-ruang bebas-birokrasi ini boleh digunakan untuk membuka kesedaran melalui pertanyaan-pertanyaan penting, misalnya perihal bahasa dan jati diri di dalam karya sastera penulis baru atau yang lama.

Saya sedar ada usaha contohnya dari beberapa Buku Jalanan dengan mengadakan dialog-dialog tentang beberapa isu. Tetapi usaha ini tidak meluas membuatkannya dilihat sebagai usaha yang begitu terasing.

Jadi mungkin, sudah masanya ada usaha untuk melebarkan lagi aktiviti seperti itu ke daerah-daerah lain, dan ini tentunya tidak eksklusif untuk BJ tetapi juga ruang lain, seperti Puisi Satu Petang yang meletakkan puisi sebagai ‘modal’.

(vi)

Sajak itu, ketika berjalan menuju pengakhiran mendedahkan dirinya sebagai sebuah kisah persetubuhan yang terlarang, antara seorang isteri dan kekasih gelapnya. T. Alias Taib mengurniakan kuasa kepada seorang perempuan menyimpan jalangnya sendiri, tanpa mengatakan apa-apa tentang pahala atau dosa.

Kerana T. Alias Taib sekadar hadir sebagai pemerhati, orang yang lalu, dan sebagai penglipurlara yang hendak bercerita melalui sajaknya. Dan dia bercerita, dengan bahasa yang ringkas tapi mengejutkan.

ia merebahkan pinggulnya
malam itu
di kala suaminya yang tua
berkeliling kota
dengan sebuah beca

resah mengalir

Usaha untuk meneroka khazanah sendiri seperti sajak-sajak T. Alias Taib adalah penting kerana dalam masa yang sama kita sebenarnya sedang meneroka ruang bahasa yang begitu luas.

downloadPenerokaan ini memberi kita ruang untuk belajar mengerti bagaimana getirnya perjalanan T. Alias Taib bertengkar dengan bahasa, sebagaimana kita kononnya mengerti Chairil Anwar dan sajak-sajaknya. Mungkin setelah itu kita tak akan sering mendengar orang berkata, tanpa susah payah sedikit pun, bahawa mengarang sajak itu mudah.

Kerana sajak memerlukan jati diri. Dan jati diri paling nampak jelas melalui permukaannya, iaitu bahasa. Maka bahasa yang dipilih, haruslah dengan kesedaran dan kefahaman yang penuh, bukan kerana pengaruh-pengaruh yang banal.

 

* Artikel asal yang disunting untuk disesuaikan dengan halaman  versi cetak 

Leave a Reply

Your email address will not be published.