Categories
SELANGOR

Exco cadang laluan motosikal jadi akses keluar masuk kenderaan

Oleh : AFEEQA AFEERA

AMPANG, 11 FEB: Bagi menyelesaikan masalah jalan pintas yang menjadi percanggahan antara penghuni di Pangsapuri Inai Jalan Pandan Indah 20 dan 21 di sini, laluan motosikal di kawasan berhampiran akan digunakan sebagai akses untuk menyelesaikan masalah itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata laluan yang selama ini digunakan oleh penghuni bermotosikal akan diluaskan supaya penghuni di Blok E, F, G dan H memiliki dua laluan untuk keluar dan masuk.

IMG_20150210_152520Katanya laluan itu hanya akan dimanfaatkan empat blok berkenaan memandangkan empat blok lain di pangsapuri berkenaan memiliki jalan keluar masuk sendiri.

“Penduduk di Blok A, B, C dan D tidak mahu ada laluan pintas bagi tujuan keselamatan, jadi saya minta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan MC untuk bincang penyelesaian ini.

“Kalau ikut undang-undang, penduduk tidak bersetuju dengan laluan pintas ini mempunyai hak memasang pagar kerana hakmilik strata antara dua pangsapuri ini berbeza, tetapi kita mahu ada harmoni antara penduduk.

“Dari segi kos kita akan bincang dengan MPAJ, malah pejabat DUN juga boleh membantu untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya selepas mengadakan lawatan di pangsapuri itu, semalam.

Akses jalan raya yang sepatutnya dimanfaatkan penghuni Pangsapuri Inai di Jalan Pandan Indah 20, di sini sebagai laluan utama kini dijadikan jalan pintas bagi kenderaan luar untuk mengelak kesesakan di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya).

Situasi itu menyebabkan penghuni di pangsapuri terbabit terpaksa berdepan kesesakan luar biasa di kawasan rumah mereka terutama pada waktu pagi dan puncak ekoran jumlah kenderaan keluar masuk yang semakin meningkat saban hari.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.