Categories
SELANGOR

Fasa 2 jalan sehala Petaling Jaya diteruskan

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 18 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan meneruskan fasa kedua projek sistem jalan sehala di sekitar Pusat Bandar Seksyen 52 membabitkan Jalan Barat, Utara, Timur, Sultan dan Yong Shook Lin.

Pemangku Datuk Bandar MBPJ, Puasa Md Taib berkata, MBPJ juga akan membuat penambahbaikan ke atas reka bentuk pelan jalan itu.

mbpjKatanya, langkah itu diambil bagi memastikan kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki diberi keutamaan.

“Penambahbaikan itu juga selaras dengan pandangan dan teguran yang dibuat Tetuan Pakatan Jurutera Pintar, Perunding Audit Keselamatan Jalanraya yang dilantik MBPJ.

“Projek ini perlu diteruskan sejajar dengan keperluan masa kini dan akan datang untuk menampung keperluan pembangunan masa hadapan,” katanya.

Puasa berkata, MBPJ akan mematuhi teguran pihak audit keselamatan jalan raya dan menyelaraskannya ke dalam pelan reka bentuk jalan terbabit.

PuasaManakala bagi aspek keselamatan, beliau berkata, MBPJ akan membina jejantas pejalan kaki di beberapa lokasi strategik.

“Jejantas itu akan dibina bagi menggantikan lintasan pejalan kaki berlampu isyarat di lokasi strategik seperti Jalan Utara berhampiran stesen LRT Asia Jaya.

“Kemudahan lain seperti tempat menunggu bas juga akan dikaji semula termasuk di kawasan sekolah iaitu dengan menyediakan ‘lay-by’ bagi memudahkan bas menurunkan dan mengambil murid dengan selamat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.