Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Polis Petaling Jaya tambah dua lagi sekatan jalan

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Polis Petaling Jaya menambah dua lagi sekatan jalan raya (SJR) melibatkan daerah itu susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 6 Mei hingga 17 Mei ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata lokasi SJR itu membabitkan Lebuhraya Persekutuan dan Taman Kannagapuram di bawah Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

“SJR di Lebuhraya Persekutan bermula pada 4 petang ini sementara SJR di Taman Kannagapuram pada 12.01 malam ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata di daerah Petaling Jaya, hanya empat lokasi SJR dikekalkan membabitkan Tol Sungai Buloh, Tol Kota Damansara, Tol Damansara dan Tol Subang.

Beliau turut menasihati orang ramai agar terus mematuhi SOP supaya jaringan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Paip pecah: Bekalan air di 130 kawasan terjejas pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 30 DIS: Semua kawasan di wilayah Klang/Shah Alam yang terjejas bekalan air ekoran kejadian paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 pulih sepenuhnya setakat 9 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berterima kasih kepada pengguna kerana bersabar dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Kami juga memohon kerjasama pengguna untuk melaporkan sebarang kejadian paip bocor atau pecah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi memastikan kerja pembaikan dilakukan segera,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Air Selangor memaklumkan semua kawasan terlibat akan menerima bekalan air secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari ini.

Semalam dilaporkan berlaku kejadian paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15.

Susulan itu, sebanyak 130 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam serta Petaling mengalami gangguan bekalan air.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang http://www.airselangor.com atau rujuk saluran komunikasi melalui Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kes denggi Petaling Jaya turun hampir 50 peratus

SHAH ALAM, 19 DIS: Petaling Jaya merekodkan 3,729 kes denggi setakat 12 Disember, turun hampir 50 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuhti Bakar berkata jumlah itu juga terendah berbanding dua pihak berkuasa tempatan lain dalam daerah sama.

Jelasnya dalam kenyataan, Shah Alam mencatatkan 5,120 kes manakala Subang Jaya melaporkan 6,322 kes dalam tempoh sama.

“Terdapat 13 wabak terkawal dilaporkan, satu lokaliti titik panas aktif dan satu kematian,” katanya.

Mohd Sayuthi turut menyeru pemimpin dan penduduk setempat supaya menjaga kebersihan dengan memastikan tiada takungan air di sekeliling tempat tinggal.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis nafi jalan masuk ke Petaling Jaya ditutup

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Polis menafikan laluan keluar dan masuk ke Petaling Jaya, Selangor di beberapa lokasi ditutup kepada lalu lintas seperti yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata polis hanya melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di tiga lokasi di daerah berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

“SJR didirikan di plaza tol Subang, plaza tol Sungai Buloh dan plaza tol Damansara membabitkan laluan keluar dan masuk, dari dan ke Petaling Jaya.

“Gambar yang dimuat naik ke laman Facebook berkenaan diambil dari akaun Facebook kami namun ia tidak memuat naik status menyatakan ia adalah SJR dan bukan penutupan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Status yang tular dan mendapat lebih 1,000 perkongsian itu mendakwa semua laluan masuk dan keluar ke Petaling Jaya melalui Damansara, Ara Damansara, Subang, Sungai Buloh, Kota Damansara dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) ditutup kecuali bagi yang mempunyai permit polis atau surat majikan.

Nik Ezanee berkata orang ramai dinasihatkan terus mematuhi PKPB agar rantaian wabak Covid-19 yang belum menunjukkan penurunan jumlah kes dapat diputuskan dan memperlahankan kenderaan di SJR demi keselamatan petugas dan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai juga diminta mematuhi jumlah individu di dalam kenderaan seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis: Boleh keluar selepas 12 tengah malam, hanya kes kecemasan

PETALING JAYA, 15 OKT: Polis tiada halangan membenarkan orang awam keluar selepas jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sehingga 27 Oktober ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kebenaran itu hanya dibolehkan bagi individu yang mempunyai keperluan khusus dan kes kecemasan, demi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Jika mahu keluar, amalkan penjarakan fizikal dan pakai pelitup muka serta patuhi tatacara operasi piawai serta pastikan selesai urusan, terus balik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Asrama Tropicana yang merupakan kawasan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin lalu sehingga 25 Oktober ini.

Nik Ezanee berkata mengikut pemerhatian, kadar pematuhan PKPB membabitkan penduduk di Petaling Jaya berada pada tahap 99 peratus.

PKPD selama 14 hari di Tropicana dibuat atas saranan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan beberapa kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pekerja Tropicana Corporation Berhad.

Nik Ezanee berkata seramai 507 pekerja menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 240 adalah warga tempatan dan selebihnya warga asing.

Setakat ini, 26 penghuni di asrama tersebut didapati positif Covid-19, katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga jalan di Petaling Jaya ditutup tengah malam ini

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Sebanyak tiga penutupan jalan di daerah Petaling Jaya dilaksanakan mulai tengah malam ini (14 Okt), selaras dengan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan selama dua minggu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, penutupan jalan itu meliputi Jalan Persiaran Mahogani di Seksyen 9, Jalan Persiaran Jati di Seksyen 8 dan Jalan Persiaran Sungai Buloh.

Beliau berkata berikutan penutupan jalan itu, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif iaitu di jalan Persiaran Kenanga melalui Tol Kota Damansara, Jalan Persiaran Surian di Palm Spring Kota Damansara dan di Jalan Persiaran Tropicana melalui Casa Tropicana.

“Penutupan jalan ini adalah selaras dengan perintah PKPB, untuk mengawal pergerakan orang ramai dan lalu lintas di jalan-jalan itu.

“Bagaimanapun, laluan (yang ditutup) ini masih boleh dilalui oleh kenderaan ambulan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mana anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditempatkan di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyarankan, semua lapisan masyarakat agar mematuhi perintah PKPB dan bersabar dalam menghadapi kesulitan, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Tindakan yang diambil ini secara tidak langsung meletakkan keselamatan awam di Petaling Jaya, sebagai keutamaan pihak polis IPD Petaling Jaya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata sebanyak empat sekatan jalan raya (SJR) dikenakan di empat tempat iaitu di hadapan Balai Polis Beranang, Jalan Broga, Jalan Bangi menuju Nilai, Negeri Sembilan dan susur masuk Plaza Tol Bandar Seri Putra.

“IPD Kajang mengadakan sekatan jalan raya dan penutupan beberapa jalan di beberapa lokasi yang telah ditetapkan, bagi mengurangkan pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Sementara itu, lokasi penutupan kekal (24 jam) adalah di Jalan Genting Peras. Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat ditahan memandu di bawah pengaruh alkohol di Petaling Jaya

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Empat lelaki yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol, ditahan dalam Op Mabuk dan Pencegahan Jenayah, di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua mereka berusia 25 hingga 55 tahun itu, ditahan dalam operasi yang bermula pada 10 malam semalam (1 Jun) hingga 2 pagi tadi dan disiasat di bawah Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, seramai 180 pengguna jalan raya dan 225 kenderaan diperiksa, dalam operasi tersebut.

“Hasil operasi yang dijalankan semalam jelas menunjukkan masih ada pengguna jalan raya yang mengambil minuman keras (beralkohol) sebelum memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tindakan itu membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima laluan utama di Petaling Jaya ditutup bermula Jumaat

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Lima laluan utama di Petaling Jaya ditutup bermula 12 tengah malam pada Jumaat ini, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam satu kenyataan hari ini lima laluan terlibat ialah:

1. Susur masuk Penchala Link arah Damansara ke Mutiara Damansara atau Damansara Perdana.

2. Susur masuk Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ke Mutiara Damansara atau Damansara Perdana.

3. Susur masuk LDP ke Jalan PJU 8/8 Flora Damansara.

4. Susur keluar ke Jalan PJU 7/8.

5. Lampu isyarat Jalan PJU 8/1 Damansara Perdana susur masuk ke Penchala Link atau Kepong.

Bagaimanapun, Nik Ezanee berkata orang awam boleh keluar dari kawasan Mutiara Damansara, Damansara Perdana dan Flora Damansara dengan menggunakan laluan alternatif dari Damansara Perdana ke Penchala Link dengan menggunakan Jalan PJU 7/9 Mutiara Damansara.

Sementara dari Damansara Perdana ke Persiaran Surian pula mereka boleh melalui Jalan PJU 7/1 Mutiara Damansara, katanya.

Nik Ezanee berkata walaupun laluan berkenaan ditutup selama 24 jam sehari tetapi masih boleh dilalui kenderaan ambulans, bomba, polis dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Mengulas lanjut, polis turut akan menambah satu lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) iaitu di PJU 7/1 Mutiara Damansara di kedua-dua arah, bermula pada waktu sama.

“Pihak polis sebelum ini melaksanakan dua SJR di Kilometer 0.3 Lebuhraya SPRINT menghala ke Plaza Tol Damansara dan satu lagi di Persiaran Surian Pelangi Damansara di kedua-dua arah,” katanya.

Nik Ezanee turut menasihatkan orang awam supaya mematuhi PKP sepenuhnya seiring usaha kerajaan memutuskan rantaian wabak Covid-19.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

MBPJ: Sentiasa cadang pemaju guna nama projek dalam bahasa kebangsaan

PETALING JAYA, 16 JUL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited terus mengukuhkan kerjasama dengan pemaju hartanah untuk mencadangkan nama bagi setiap projek pembangunan dalam bahasa kebangsaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, ia berikutan selama ini pihak pemaju lebih gemar menggunakan bahasa ‘orang putih’ atau bahasa asing yang dilihat sebagai salah satu tarikan terhadap strategi pemasaran masing-masing.

“Saya yakin penggunaan bahasa kebangsaan ini boleh menjadi satu tarikan kepada pembeli projek pembangunan mahupun hartanah selain mementingkan aspek kualiti dan lokasi pembinaan yang strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bendera Kejohanan SUKANUN dan Sukan Selangor (SUKSES) 2019, di Kompleks Sukan Arena, Jalan Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas laporan media tempatan berhubung pekeliling larangan penggunaan nama asing bagi projek perumahan, bangunan dan jalan yang akan dikeluarkan semula kepada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pekeliling itu antara lain bagi mengingatkan semua PBT di negara ini berkaitan garis panduan yang perlu dipatuhi untuk kelulusan permohonan.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penggunaan nama yang tidak mencerminkan Malaysia seperti penggunaan bahasa Inggeris dan nama orang Inggeris pada infrastruktur itu masih berlaku walaupun garis panduan mengenainya sudah lama wujud.

Zuraida yang dipetik sebagai berkata, beliau mahu PBT lebih tegas dan menjalankan tugas tanpa campur tangan pihak luar atau politik.

Mengakui perkara itu, Mohd Sayuthi berkata, pihaknya sudah lama mematuhi arahan berkenaan seperti diarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini.

“Kita memang sentiasa menggalakkan penggunaan nama bahasa kebangsaan bagi nama pembangunan yang dicadangkan, tetapi kadang-kadang apabila melihat penggunaan nama bahasa Inggeris itu, ia lebih merujuk kepada nama khas atas syarikat.

“Untuk lain-lain memang kita minta supaya menggunakan nama bahasa Malaysia untuk memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

MB ucap tahniah PJ antara bandar bahagia di Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) susulan kejayaan Petaling Jaya (PJ) tersenarai sebagai antara bandar bahagia di Malaysia berdasarkan Laporan Kebahagiaan Dunia 2018 (WHR 2018).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, insiatif MBPJ termasuk pelaksanaan perkhidmatan bas percuma ‘PJ City Bus’ di samping persekitaran sedia ada menjadi faktor membantu Malaysia tersenarai di kedudukan ke-35 dunia.

“Tahniah MBPJ di atas pencapaian mereka dan PJ.

“Saya percaya ia terhasil disebabkan beberapa inisiatif dilaksanakan bukan sahaja perkhidmatan tetapi juga meliputi ekosistem dan persekitaran sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyenaraian PJ sebagai antara bandar bahagia di Lobi Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sebelum itu dilaporkan berkata selain PJ, bandar lain yang tersenarai adalah Kuala Terengganu, Manjung, Batu Gajah, Bentong, Jeli, Segamat dan Padang Terap.

Secara kesuruhan, Malaysia di tangga kedua, di belakang Singapura dalam indeks kebahagian 6.343.

Categories
SELANGOR

PJ perlukan hospital awam

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran mencadangkan pembinaan sebuah hospital awam dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Petaling Jaya (PJ).

Beliau berkata, pembinaanya perlu bagi memenuhi keperluan penduduk di sekitar PJ kerana mereka terpaksa merujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jika ingin mendapatkan rawatan.

“Jika ingin mendapatkan rawatan, penduduk terpaksa pergi ke Hospital Serdang dan Sungai Buloh yang jauh. Saya harap Kerajaan Negeri boleh meminta kepada KKM untuk membina hospital awam untuk kemudahan penduduk.

“PJ merupakan sebuah bandar besar tetapi tidak mempunyai hospital awam,” katanya ketika membahaskan Titah Menjunjung Kasih di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau berkata, jika cadangan itu direalisasikan, hospital itu bukan sahaja memberikan manfaat kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, tetapi boleh dikongsi bersama Subang Jaya, Taman Medan, Bukit Tunku dan Seri Setia.

Categories
NASIONAL

UNESCO anugerah PJ ‘bandar raya pembelajaran’

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 FEB: Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menobatkan Petaling Jaya antara 10 bandar raya di dunia untuk Anugerah Bandaraya Pembelajaran 2019.

Berdasarkan kenyataan web rasmi UNESCO, kejayaan Petaling Jaya berikutan pencapaian cemerlang dan prestasi ditempa bandar raya itu dalam sektor pendidikan.

“Kajian itu berdasarkan daripada Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat UNESCO (UIL), yang menyifatkan rancangan Petaling Jaya menaik taraf pendidikan awam dan mampu menyediakan bas percuma adalah satu perkara terbaik.

“Malah, bandar raya itu (Petaling Jaya) juga menggunakan sepenuhnya sumber disediakan rakan strategik,” katanya dalam kenyataan melalui – http://uil.unesco.org

Selain Petaling Jaya, sembilan bandar raya lain diberi anugerah sama ialah Aswan (Mesir), Chengdu (China), Heraklion (Greece), Ibadan (Nigeria), Medellin (Columbia), Melitopol (Ukraine), Santiago (Mexico), Seodaemun (Korea Selatan) dan Sønderborg (Denmark).

UNESCO berkata, kejayaan 10 bandar raya berkenaan mampu memberi keyakinan bagi mempromosikan pendidikan serta pembelajaran sepanjang hayat di peringkat tempatan.

“Walaupun masing-masing bermula daripada pelbagai konteks ekonomi, politik, sosial dan alam sekitar, semua pemenang Anugerah Bandar Pembelajaran UNESCO 2019 mempunyai kriteria tertentu.

“Ia merangkumi inisiatif inovasi dan dasar khusus, selain pelbagai program yang menyediakan rangkaian peluang demi manfaat komuniti setempat,” katanya.

Untuk makluman, anugerah berkenaan akan disampaikan pada penganjuran Persidangan Bandar Pembelajaran Antarabangsa 2019 di Medellin, Columbia.