Categories
SENI

Madrasah Seni angkat tema puisi perlawanan

OLEH RAJA YUSOFF ARIFFIN

Acara baca puisi tidak hanya berlangsung di kota besar, sebaliknya telah merebak jauh ke ceruk desa. Kampung Banda Dalam di Gombak tidak terkecuali.

Digerakkan aktivis Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama PAS Batu, Madrasah Seni mengorak langkah dengan mengangkat bait-bait puisi sebagai bilah senjata.

Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said yang sinonim dengan karya perjuangan dan derita rakyat, diberi penghormatan melancarkan acara sulung ‘Baca Puisi Madrasah Seni’.

Uniknya acara itu membawa tema isu semasa yang berlegar di sekelilingi jerih perih kehidupan rakyat dan sentiasa akrab dengan pelbagai isu semasa negara.

Kehangatan bahang perlawanan dirasai pada penganjuran ‘Puisi Bebas’ pada 9 Januari lalu yang menampilkan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Chan Yong Sin.

Selain itu, ada penyair turut menyatakan simpati terhadap beberapa individu berikutan kemelut Harakah, akhbar rasmi PAS, melalui karya masing-masing.

Sebenarnya, penganjuran bulanan itu – walaupun berbaur politik – secara tidak langsung mengingatkan ramai kepada populariti acara Baca Puisi Pena dan Suara Kuala Lumpur.

Ia terbuka kepada semua penggiat seni dan ia diadakan setiap Jumaat kedua setiap bulan, sama ada mendeklamasi karya sendiri mahupun penyair lain.

Pada acara sulung itu, ia turut dihadiri pengarah filem, Yassin Salleh; penyanyi dan komposer, Sani Sudin; penyair, Pyanhabib; Pengarah Galeri RA Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah dan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Malah, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron turut hadi, bahkan tampil di pentas memeriahkan acara.

Selain Ahkarim yang datang dari Alor Setar semata-mata untuk hadir acara itu, Amni Jagat (Johor Bahru) dan Ahmadi Syarif (Indonesia) turut datang dari jauh hanya untuk berpuisi.

Selain mereka ialah Mohd Nizam Yamin, Ustaz Shazli Abdullah, Rahmat Haroun, Man Bakrie, Norhani Affendi, bahkan pengamal media seperti H Fansuri dan Mohd Arif Atan.

Presiden Paksi, Dinsman dan AJK Paksi, Rozan Azen Mat Rasip dan Sharifah Tun Teja turut tidak melepaskan peluang untuk berdeklamasi.

Paling menggamit perhatian ialah kebolehan Mohd Iman Wafiq, pelajar tahun dua dari Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway, Semenyih, mendeklamasi sajak.

Kegamatan acara berterusan saat penyanyi dan komposer, Syed Amran menghiburkan hadirin dengan lagu ‘Selamat Malam Rohingya’ yang menusuk hati.

Selain acara pentas, Pengerusi Madrasah Seni dan Ketua Kampung Kampung Banda Dalam, Ishak Surin dan AJK Paksi, Shukor Harun turut menyampaikan ucapan ringkas.

Pada acara seterusnya, khabarnya dianjur bersempena pemergian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penindasan terhadap Mejar Zaidi Ahmad.

Maka, tiada sebab untuk penyair yang mengaku punyai semangat Widji Thukul tidak datang, sekurang-kurangnya menonton persembahan kalaupun tidak beraksi di pentas deklamasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.