Categories
NASIONAL

Fitnah 2: Anwar yakin bebas 10 Februari

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 5 FEB: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi keyakinan yang beliau akan dibebaskan, 10 Februari ini berdasarkan kepada perincian fakta dan undang-undang kukuh yang sudah dibentangkan di Mahkamah Persekutuan.

Anwar berkata, beliau yakin keputusan akan berpihak kepadanya berdasarkan perjalanan kes dengan kesungguhan panel peguam bela.

“Saya yakin dibebaskan berdasarkan undang-undang, keterangan saksi dan fakta kes.

anwar“Kalau bukan berdasarkan pertimbangan undang-undang, hukum atau kesaksian dan fakta, itu luar daripada jangkaan saya. Saya menjangkakan bebas berdasarkan perkara ini,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Etnic Relations In Malaysia’ karya Dr Syed Hussin Ali di SACC, di sini, hari ini.

Anwar berkata, Mahkamah Persekutuan kali ini berbeza dengan pengalaman beliau 16 tahun lalu kerana kali ini ruang sepenuhnya diberikan kepada panel peguam bela untuk mengemukakan hujah.

“Berbeza dengan pengalaman saya 16 tahun lalu, kesannya bukan sahaja kepada panel hakim tetapi rakyat dapat ikuti hujah itu dari dekat,” katanya.

Anwar, 67, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati beliau bersalah atas tuduhan membabitkan pembantu peribadinya.

Mahkamah Rayuan, pada 7 Mac 2014 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu.

anwar&wanPada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan sama atas alasan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti berkenaan integriti sampel DNA yang diambil untuk ujian daripada mangsa.

Anwar diwakili sepasukan 15 peguam diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.