Categories
NASIONAL

Kritik Allahyarham Nik Aziz, Ibrahim Ali dangkal & jahil

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 FEB: Kritikan ke atas diri dan kepimpinan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus berlaku walaupun sudah kembali ke rahmatullah.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menerusi laman sosial Facebook miliknya hari ini menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham disusuli kritikan yang disifatkan sebagai tindakan dangkal dan jahil sebagai seorang Islam.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak wajar ucapan itu terbit dari sosok pemimpin beragama Islam terhadap pemergian saudara seagamanya.

FB IBRAHIM ALI“Jika benar status itu hadir dari akaun sebenar Ibrahim Ali, ia tidak sewajarnya berlaku.

“Nabi (Muhammad s.a.w) juga berpesan jika seseorang saudara Islam itu meninggal dunia, jangan kita ceritakan hal keburukan dirinya.

“Seharusnya, semua pihak lebih mendalami Islam supaya perkara seumpama ini tidak berulang kepada sesiapa tidak kira arwah itu pemimpin atau orang biasa,” katanya kepada Selangor Kini.

Ibrahim dalam status facebooknya dengan jelas mengkritik Allahyarham  yang didakwa gagal melaksanakan hukum hudud dan membangunkan Kelantan walaupun menjadi menteri besar lebih 20 tahun.

Beliau juga menyeru rakyat tidak membuat kesilapan sama dengan memilih pemimpin warak tanpa wawasan seperti Allahyarham.

datuk-ibrahim-tuan-man1Sehubungan itu, Tuan Ibrahim meminta rakyat melihat kembali pemerintahan Allahyarham yang bebas rasuah dan menjalankan kepimpinan yang berprinsip berbanding dakwaan Presiden Perkasa itu.

“Allahyarham sudah buat yang terbaik untuk agama, rakyat dan negara. Lihat sahaja dalam tempoh 23 tahun memerintah Kelantan, beliau berjaya memimpin kerajaan yang bersih, bebas rasuah dan penyelewengan.

“Beliau adalah contoh pemimpin yang zuhud, tegas, berprinsip dan berpandangan luas. Pemergiannya satu kehilangan besar buat negara,” katanya.

Nik Aziz menghembuskan nafas terakhir pada usia 84 tahun di kediamannya, jam 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital.

Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, pada jam 11 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disempurnakan di Masjid Pulau Melaka pada jam 10 pagi dan dianggarkan hampir 30,000 orang hadir di Masjid Pulau Melaka menunaikan solat jenazah.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.