Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Projek Kidex dalam RSN Selangor 2035 tak diambil kira

Oleh: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali

Status penyediaan Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (RSN Selangor 2035) adalah di peringkat Laporan Tinjauan dan telah dipublisitikan bermula 8 Disember 2014 hingga 9 Januari 2015 dan telah dilanjutkan tempohnya sehingga 31 Januari 2015.

Salah satu perkara yang dimasukkan di dalam Laporan Tinjauan, Kajian RSN Selangor 2035 adalah berkaitan dengan cadangan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Walaubagaimanapun, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 7/2015 pada 17 Februari 2015 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 8/2015 pada 25 Februari 2015 telah membuat keputusan tidak mempertimbangkan dan membatalkan pembangunan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) selaras dengan kuasa Kerajaan Negeri berhubung pembangunan tanah dan kelulusan perancangan.

Keputusan ini selaras dengan pendirian Kerajaan Negeri yang tegas mengambil tindakan terhadap kegagalan pemaju untuk memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan demi menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor supaya semua perkara berkaitan dengan cadangan pembangunan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) tersebut TIDAK AKAN DIAMBIL KIRA semasa penyediaan draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 kelak dan Mesyuarat Pendengaran Hasil Maklumbalas Publisiti Laporan Tinjauan, Kajian RSN Selangor 2035 yang berkaitan cadangan Pembangunan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) yang telah ditetapkan pada 10 Mac 2015 ini adalah DIBATALKAN. Pendengaran bagi perkara-perkara lain adalah diteruskan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.