Categories
BERITA UTAMA

Mutu pendidikan tinggi di negara ini: Realiti atau sekadar dimulut sahaja?

Oleh: Ku Hariz Farhan Ku Azman

Beberapa hari yang lepas, Timbalan Menteri Pendidikan Dato Seri Idris Jusoh menyatakan bahawa mutu pendidikan tinggi di negara kita adalah setanding dengan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan UK.

Pasca kenyataan tersebut disambut dengan sindiran oleh pelbagai pihak tidak kira politikus mahupun mahasiswa sendiri.

Adakah benar mutu pendidikan tinggi di negara ini ‘setanding’ dengan beberapa negara yang disebutkan di atas?

universitiBanyaknya universiti tidak semestinya melambangkan ketinggian mutu pendidikan Malaysia secara asasnya mempunyai 20 buah IPTA dan puluhan IPTS yang bertebaran di seluruh negara.
Saban tahun kita menghasilkan puluhan ribu graduan dalam variasi bidang.

Namun, mengapa timbul isu seperti kekurangan guru, para doktor dan pelbagai lagi yang tidak pernah surut?

Namun, kerajaan sendiri tidak duduk diam dan menawarkan solusi kepada setiap permasalahan itu.

Sebagai contoh, bagi mengatasi masalah kekurangan guru dalam subjek Bahasa Inggeris, dibuat perjanjian dengan negara seperti India dan Amerika Syarikat untuk membawa masuk guru-guru dari negara tersebut.

Satu persoalan, Apakah nasib graduan tempatan dalam bidang pendidikan dipandang oleh kerajaan?

Adakah dengan mengimport guru asing akan membantu mengurangkan masalah tersebut dalam masa yang sama guru-guru tempatan dianaktirikan di negeri sendiri?

Tak perlu pergi terlampau jauh.

Dalam kenyataannya, beliau berbangga bahawa tahap pendidikan tinggi di negara kita setanding dengan negara maju.

Penulis baru-baru ini berkesempatan untuk menjenguk beberapa laman sesawang seperti QS World University Ranking dan Times Higher Education bagi melihat sendiri kesahihan yang dilemparkan oleh beliau.

Hasil yang diperolehi sangat mengejutkan. Sebagai contoh, untuk senarai 50 bandar utama dunia yang menjadi tumpuan bagi melanjutkan pelajaran hanya Singapura yang menjadi satu-satunya wakil dari Asean yang menduduki tangga ke-15 dalam carta tersebut(topuniversities.com). Malaysia tidak menduduki mana-mana tangga dalam senarai tersebut.

Manakala bagi carta universiti terkemuka dunia, timeshighereducation.co.uk telah menyenaraikan 100 buah universiti dari seluruh dunia dan sekali lagi negara jiran kita iaitu Singapura melalui National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-21 dan Nanyang Technological University yang berada di tangga ke-95.

Kita beralih pula kepada laman sesawang QS, topuniversities.com yang turut melakukan kajian yang sama dan hasilnya sama seperti sebelumnya di mana National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University masih lagi bertahan dalam kalangan 100 universiti terbaik dunia dengan masing-masing menduduki tangga ke-22 dan 39.

Manakala IPT dari negara Malaysia masih gagal untuk menempatkan diri dalam kalangan 100 universiti terbaik di dunia.

Paling hampir adalah Universiti Malaya yang menduduki tangga ke-151 namun ianya belum cukup kuat untuk menjadi kayu ukur bahawa mutu pendidikan tinggi kita setanding dengan negara maju.

Manakan tidak, negara jiran pun tidak mampu untuk kita kejar, inikan pula negara-negara maju yang telah sekian lama mengungguli carta universiti terbaik dunia.

Kehadiran pelajar antarabangsa?

Dinyatakan oleh beliau bahawa antara kayu ukur kepada mutu pendidikan tinggi negara ini yang setanding dengan negara maju adalah bilangan pelajar antarabangsa yang berada di IPT negara ini.

Menurut QS, dalam menentukan pencapaian sesebuah universiti, aspek pelajar antarabangsa dalam sesebuah universiti tersebut hanya menyumbang sebanyak 2.50% kepada markah keseluruhan penilaian.

Jikalau begitu, apakah signifikannya untuk membesar-besarkan jumlah pelajar antarabangsa yang berada di universiti negara ini sedangkan pada masa yang sama ramai anak muda tempatan yang cerdik dan pandai yang layak untuk masuk ke menara gading tetapi tiada kesempatan untuk berbuat demikian gara-gara kesempitan hidup, kadar yuran yang mahal dan tiada penajaan.

Aspek lain yang perlu dilihat adalah tenaga akademik itu sendiri. Masihkah kita mengingati apa yang sudah terjadi kepada Prof. Azmi Sharom, Prof Redhuan dan Prof Abdul Aziz Bari natijah dari kajian mereka yang tidak menyenangkan pihak pemerintah?

Ditambah pula dengan karenah sesetengah universiti yang menekan para pensyarah untuk menumpukan perhatian yang lebih terhadap penyelidikan dan kajian berbanding mendidik para mahasiswa menyebabkan masa di antara pensyarah dan mahasiswa kurang, pensyarah sering kali membatalkan temujanji bersama anak didiknya pada saat-saat terakhir hanya kerana perlu menyiapkan kajian dan penyelidikan seterusnya suasana keilmuan dan percambahan intelektual dalam kalangan warga universiti menjadi sirna.

Muhasabah balik.

Dalam kesuraman universiti-universiti di negara kita, apakah kita masih mahu mendabik dada mengatakana bahawa mutu pendidikan tinggi di negara kita setanding dengan negara maju?Apa maknanya setiap jurnal yang dikeluarkan saban tahun tetapi isinya tidak bersifat kritis, membina malah lebih bersifat ‘ampuisme’ hanya kerana ingin mendapat gelar seperti Profesor?

Apalah maknanya penganugerahan Dana penyelidikan kepada universiti terpilih dalam masa yang sama kenaikan pangkat Profesor Madya dan Profesor dicemari dengan unsur politik luar?
Menyebabkan tenaga akademik yang berpotensi dipandang dengan sebelah mata dan tidak diberi perhatian oleh pentadbir universiti.

Apa ertinya universiti yang berlambak di negara ini tetapi para pentadbir universiti berfikiran seperti abad ke-12 sedangkan kita berada di abad ke-21?

Bertindak melebihi dari Kerajaan itu sendiri dalam beberapa perkara menyebabkan mahasiswa tidak berpuas hati dengan mereka. Mahasiswa tidak merasakan bahawa universiti adalah dunia mereka, tetapi ianya adalah dunia yang dipenuhi dengan penipuan dan pendajalan.

* Ku Hariz Farhan Ku Azman adalah Exco Media, Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.