Categories
SELANGOR

Pemilik rumah PPR patut bayar kos penyelenggaraan, elak tindakan mahkamah

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 FEB: Pemilik dan penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) diminta bekerjasama melunaskan pembayaran kos penyelenggaraan bagi mengelak tindakan mahkamah dikenakan ke atas mereka.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata tindakan itu sejajar dengan pengenalan akta baharu iaitu Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Beliau berkata, tidak sekadar pemilik malah penyewa juga tidak terkecuali boleh diambil tindakan menerusinya.

“Memang ada lebih kurang 200 kes dibawa ke mahkamah sejak 2013, Kerajaan Negeri akan membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) untuk bawa mereka tidak membayar ke mahkamah,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, Iskandar berkata, Kerajaan Negeri tidak bertujuan mendakwa pihak berkaitan ke mahkamah kerana kebiasaannya apabila notis dikeluarkan, kebanyakan daripada mereka akan tampil untuk melunaskan pembayaran.

Katanya, pemilik dan penyewa sendiri akan menanggung kesannya jika pembayaran tidak dijelaskan seperti mana ditetapkan.

“Bukan kita hendak tangkap mereka dan bawa ke mahkamah. Di bawah akta baru juga ada satu forum untuk mereka berbincang jika tidak bersetuju iaitu Tribunal Perumahan Strata (TPS).

“Kalau dulu mungkin susah mereka nak membantah tetapi dengan adanya tribunal ini, mereka boleh luahkan rasa tidak puas hati dan tribunal akan keluarkan keputusan seperti mahkamah majistret. Diharapkan tribunal dapat selesaikan masalah,” katanya.

Sebelum ini, katanya, memang masalah timbul terutama di kalangan penyewa yang enggan membayar kos penyelenggaraan kerana mereka beranggapan rumah diduduki bukan milik mereka.

Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) adalah undang-undang yang diperuntukkan untuk mengawal selia penyelenggaraan dan pengurusan bangunan bertingkat atau tanah yang dipecah bahagi dan dikeluarkan hakmilik strata bermula dari peringkat penyerahan milikan kosong sehingga ke peringkat selepas perbadanan pengurusan diwujudkan.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya meminta pemilik dan penyewa rumah PPR di Selangor perlu lebih bertanggungjawab serta berdisiplin membayar kos penyelenggaraan bulanan mereka supaya dapat menampung perbelanjaan membaik pulih infrastruktur kediaman.

Katanya, RM15 seunit dianggap terlalu kecil dan mereka juga bertanggungjawab untuk menyumbang kepada kos penyelenggaraan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.