Categories
NASIONAL

Penganalisis: Azmin calon terbaik Ketua Pembangkang

Oleh NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM: Pakatan Rakyat harus memilih kalangan pemimpin muda dan bertenaga sebagai calon menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Penganalisis politik, Dr Maszlee Malik, berkata antara calon terbaik ialah Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Beliau berkata, ia kerana kemampuan Mohamed Azmin sebagai Dato’ Menteri Besar terserlah, selain mudah diterima banyak pihak berbanding calon lain.

“Pakatan kena sedia menggantikan pemimpin lama. Anwar dipenjara. Datuk Seri Hadi Awang dan Lim Kit Siang juga kena diganti dengan lapisan baru.

“Orang yang lebih muda, bertenaga dan boleh bersetuju antara satu sama lain.

“Azmin sudah membuktikan kemampuan sebagai Menteri Besar. Beliau juga orang nombor dua dalam PKR. Sekarang patut ditonjol sebagai nombor satu pula.

“Kalau pilih Azmin, tak jadi isu. Mungkin lebih mudah diterima DAP dan PAS. Kalau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, beliau bukan Ahli Parlimen.

“Kalau Lim Guan Eng pula, saya fikir PAS tidak akan setuju,” katanya kepada Selangor Kini, hari ini.

Dr Maszlee turut menyebut beberapa nama dalam PAS yang mungkin boleh memberi saingan kepada Mohamed Azmin bagi jawatan berkenaan.

“PAS ramai muka baru seperti Dr Mujahid Rawa, Kamaruddin Jaafar, Khalid Samad dan lain-lain tetapi tidak menonjol seperti Azmin.

“Lagi pun sejauh mana mereka boleh dapat sokongan dalaman PAS sendiri,” kata pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Katanya, Pakatan harus memandang ke depan dengan menyediakan lapisan pemimpin baru yang muda dan bertenaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.