Categories
SELANGOR

Pengguna puas hati kualiti stesen bas, rimas dengan ulat tiket

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 FEB: Pengguna Terminal Bas Sementara Seksyen 13, di sini, berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana lebih luas.

Tinjauan Selangor Kini mendapati kawasan berkenaan turut menempatkan perkhidmatan teksi selain mempunyai ruang letak kenderaan yang lebih banyak untuk pengguna.

Terdapat juga beberapa individu yang bertindak sebagai ulat tiket walaupun pasukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) beroperasi di lokasi berkenaan.

IMG_5726Bagi Hilmanizam Ibrahim, 31, beliau sudah tiga kali berurusan di terminal sementara itu dan mengakui berpuas hati dengan kawasan yang disediakan.

Namun, beliau sedikit rimas dengan kewujudan ulat tiket di sekitar terminal selain beberapa kemudahan yang perlu ditambahbaik.

“Tempat besar tetapi ruang solat kecil dan keadaan tandas pada saya hanya sederhana. Dari segi perkhidmatan sambutan ada tetapi sedikit rimas,” katanya.

Fauzi Ismail, 56, yang pertama kali menggunakan perkhidmatan bas di lokasi berkenaan berpandangan sama dengan Hilmanizam berkenaan kemudahan tandas dan surau.

Sementara itu, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhamad Amir Mukhtar, 20, berkata lokasi terminal sementara itu lebih dekat dengan penempatan pelajar dan memudahkan mereka pulang ke kampung halaman.

Katanya, terdapat sedikit kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.

IMG_5729“Tempat ini agak sesuai tetapi pada waktu puncak kemasukan bas akan mengakibatkan sedikit kesesakan kerana dekat dengan jalan utama.

“Tambahan pula dekat dengan kediaman pelajar, senang untuk mereka membeli tiket,” katanya.

MBSA membuat keputusan untuk memindahkan sementara stesen bas di Seksyen 17 ke Seksyen 13, di sini, bermula 15 Disember lalu.

Tindakan itu diambil bagi menaiktaraf infrastruktur stesen bas Seksyen 17 dengan 24 kaunter tiket disediakan untuk memudahkan pengguna membeli tiket bas.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.