Categories
KENYATAAN MEDIA

Geramm kecam ugutan bunuh terhadap wartawan akhbar Tamil di Pulau Pinang

Oleh: GERAMM
Merujuk laporan media berkenaan ugutan bunuh yang diterima oleh seorang wartawan wanita dari sebuah akhbar berbahasa Tamil di Pulau Pinang, Gerakan Media Marah dengan ini mengecam sekeras-kerasnya cubaan mengintimidasi dan mendiamkan media.
Agensi berita kebangsaan Bernama pada hari Selasa melaporkan bahawa wartawan terbabit sekali lagi menerima ugutan dari seorang individu tidak dikenali, dipercayai berkaitan laporannya pada 28 Januari berkenaan penahanan 33 individu didakwa terlibat cubaan mencetuskan kerusuhan semasa sambutan Thaipusam.
Kali ini, wartawan tersebut mendakwa telah menerima satu panggilan telefon pada hari Isnin, kira-kira pukul 9.15 malam, dari seorang lelaki yang mengugut untuk “menghabiskannya” jika mereka terserempak di Pulau Pinang.
“Lelaki itu juga mengugut akan pergi ke rumah saya di Ipoh, Perak, untuk ‘melakukan sesuatu’ dan berkali-kali berkata yang dia akan ‘menghabiskan saya’ secepat mungkin,” wartawan itu dilaporkan berkata.
Polis Pulau Pinang dilaporkan sedang melakukan siasatan setelah wartawan tersebut membuat laporan polis pada malam Isnin.
Geramm menyatakan kerisauan bahawa wartawan tersebut masih ditugaskan membuat liputan sambutan perayaan Thaipusam, walaupun terdapat ancaman kepada keselamatannya.
Walaupun kami memahami keperluan bersikap profesional dalam menjalankan tugas, keselamatan wartawan juga harus diberikan perhatian.
Geramm mengambil perhatian bahawa ini bukan kali pertama ugutan sedemikian telah diarahkan kepada wartawan dan kami menyeru semua pihak berkenaan agar menghormati pengamal media yang sedang menjalankan tugas, dengan cara menghentikan semua bentuk ancaman.
Geramm yakin bahawa pihak polis akan menjalankan tugas mereka dengan telus dan adil dalam menyiasat ugutan yang tidak seharusnya berlaku ini.
Kami juga berharap pihak polis akan bertindak melindungi keselamatan wartawan terbabit dan semua pengamal media yang bertugas.
GERAM ialah perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.
Untuk sebarang pertanyaan, hubungi Fazallah Pit melalui 019-3759767 atau Alyaa 012-3596240

Leave a Reply

Your email address will not be published.