Categories
SELANGOR

PPR perlu kerap diselenggara elak kejadian buruk

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 FEB: Projek Perumahan Rakyat (PPR) patut mempunyai kemudahan yang sempurna bagi mengelakkan kejadian kanak-kanak jatuh dari bangunan berulang.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata sebagai sebuah kerajaan peduli rakyat seharusnya memberi fokus membantu rakyat khususnya berpendapatan rendah.

10953205_956415284377469_5055241060548059557_nBeliau berkata demikian bagi mengulas langkah Kerajaan Negeri yang mahu Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menjalankan pemeriksaan ke atas semua PPR di negeri itu ekoran kes kanak-kanak jatuh dari tingkat 6 PPr Kota Damansara baru-baru ini.

“Saya menyokong penuh langkah dan inisiatif diambil Kerajaan Negeri memastikan PPR mempunyai kemudahan sempurna.

“Kita sedia maklum sejak sekian lama memang keadaan dan kemudahan rakyat di PPR agak daif. Oleh itu, seharusnya Kerajaan Negeri membantu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Sementara itu, Adun Morib, Hasnul Baharuddin berkata langkah pembaikan kemudahan yang akan dijalankan itu merupakan langkah yang baik dan sepatutnya diambil perhatian.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan budaya alpa dan tidak kisah yang mengundang bahaya.

“Namun untuk mengelakkan kejadian berulang, langkah ini amat baik untuk semua negeri laksanakan,” katanya.

Hasnul berkata Kerajaan Negeri juga perlu meletakkan syarat yang ketat dan munasabah kepada pemaju supaya menyediakan perumahan mempunyai ciri keselamatan dan mesra rakyat demi keselamatan penduduk.

“Bagaimanapun ia jangan sampai terlalu menyusahkan pemaju,” katanya.

Sebelum ini, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata kerja baik pulih itu dilaksanakan dengan segera demi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Iskandar berkata sebelum ini, dalam 2012 sebanyak 12 buah lif dan 8 buah pam air telah dibaikpulih atau diganti dengan kos lebih RM 1.16 juta di PPR Kota Damansara.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.