Categories
SELANGOR

Selangor teliti pandangan menyeluruh larangan penjualan arak

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 FEB: Selangor akan meneliti pandangan rakyat secara keseluruhan berhubung larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti Islam bagi mengelakkan isu terbabit disensasikan dengan sentimen kaum dan agama.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, sensitiviti masyarakat Islam dan bukan Islam perlu dihormati bagi memastikan segala isu berbangkit dapat diselesaikan secara harmoni.

“Saya tidak mahu mentadbir sebuah negeri yang berasaskan sentimen kaum dan agama kerana kita tidak boleh ke hadapan.

“Yang penting tanggungjawab Kerajaan Negeri adalah menjaga keharmonian dalam masyarakat yang rencam di Selangor,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Lantikan Ketua Kampung Tradisi Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Terdahulu, semua negeri disarankan mencontohi Melaka yang akan menguatkuasakan pengharaman penjualan minuman keras di kedai serbaneka mengikut taburan populasi masyarakat setempat.

Bagaimanapun, dasar yang diambil Kerajaan Melaka itu pernah dilakukan bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali pada 2009 berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.