Categories
KENYATAAN MEDIA

SPR harus hentikan siasatan persempadanan Sarawak sehingga keputusan semakan kehakiman

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil 2.0 (BERSIH 2.0) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya segera menghentikan siasatan tentang persempadanan semula Sarawak sehingga keputusan semakan kehakiman terhadap cadangan SPR diketahui.

Keengganan SPR berbuat demikian berkemungkinan mengakibatkan permohonan injunksi untuk menghalang SPR daripada meneruskan sesi siasatan yang dijadualkan bermula pada 23 Februari (Isnin)

sprSPR sepatutnya tahu bahawa pada 17 Februari, Mahkamah Tinggi Kuching Hakim Yew Jen Yie telah memberi kebenaran kepada ADUN Batu Lintang See Chee How untuk memohon semakan kehakiman tersebut.

Maka keseluruhan cadangan persempadanan semula mungkin akan diisytiharkan batal dan tidak sah kerana, antara sebab lain, pelanggaran Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan SPR memaparkan bukan sahaja cadangannya tetapi juga “kesan” cadangan itu.

Tindakan SPR yang tergesa-gesa menjadualkan siasatan itu dalam masa hanya tiga minggu setelah tempoh bantahan sebulan berlalu mencadangkan bahawa SPR tidak menghormati proses semakan kehakiman dan tidak mempeduli tentang masa, tenaga dan sumber semua pihak yang terbazir sekiranya keputusan semakan kehakiman adalah “batal dan tidak sah”.

BERSIH 2.0 juga memandang kritis sekatan SPR yang tidak munasabah terhadap siasatan: yakni, hanya tiga jurucakap dibenarkan, tidak lebih daripada 20 orang boleh hadir dalam perjumpaan bersama SPR, dan setiap slot hanya diberi 30 minit, larangan sebarang perwakilan undang-undang dan kehadiran media serta kamera dan telefon bimbit.

BERSIH 2.0 memberi amaran bahawa sekatan SPR yang tidak munasabah ini mengalahkan tujuan penyertaan awam yang bermakna dalam merangka semula sempadan kawasan pilihan raya. Sekatan SPR ini turut mengundang cabaran di mahkamah.

Maka, bagi menjimatkan masa, tenaga dan sumber semua pihak termasuk mahkamah, SPR sepatutnya memberi pertimbangan bagi menarik balik notis paparan pertama dan memulakan semula persempadanan dengan berpandukan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya ini dilakukan, maka See bolehlah menarik balik semakan kehakiman yang dipohonnya.

Dari segi tatacara, SPR sepatutnya memenuhi peruntukan Seksyen 4 Jadual Ke-13 dengan memastikan bahawa notis itu disiarkan dalam “sekurang-kurangnya satu suratkhabar yang diedarkan di kawasan itu” dan yang turut menyatakan “kesan syor yang dicadangkannya”.

Dari segi kandungannya, cadangan SPR mesti mematuhi Seksyen 2 Jadual Ke-13, terutamanya sub-seksyen 2(c) yang menyatakan bahawa bilangan pengundi di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu negeri patulah “lebih kurang sama banyak”, dengan pengecualian bagi kawasan berketumpatan rendah (yakni “ukuran pewajaran bagi kawasan”), dan juga sub-seksyen 2(d) yang menekankan “pemeliharaan hubungan tempatan”.

BERSIH 2.0 bersedia menemui SPR untuk membincang bagaimana keperluan perlembagaan sepatutnya dipenuhi dalam persempadanan semula.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

Leave a Reply

Your email address will not be published.