Categories
KENYATAAN MEDIA

Sumber air mentah kolam alternatif selamat digunakan

Oleh: Zaidy Abdul Talib

Kerajaan Negeri Selangor mengambil serius dalam usaha memastikan sumber air mentah di Selangor adalah selamat untuk digunakan oleh rakyat. LUAS telah memulakan operasi pengepaman air kolam alternatif di Bestari Jaya semenjak 2 Februari 2015 yang lalu dengan pengeluaran sehingga 700 juta liter sehari (JLH).

Kerajaan Negeri sentiasa memastikan air kolam yang dipam ke Sg. Selangor ini mematuhi piawaian air mentah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dirawat oleh loji rawatan air (LRA). Pensampelan kualiti air kolam-kolam ini dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM).

ZaidyProses pemantauan kualiti air dijalankan melalui 3 peringkat, iaitu :

i) Pemantauan di kolam alternatif oleh LUAS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS)
ii) Pemantauan air mentah di sungai dan muka sauk oleh LUAS, operator loji dan JKNS
iii) Pemantauan air terawat selepas proses rawatan di LRA oleh operator loji dan JKNS

Berdasarkan keputusan analisa pensampelan oleh JKNS sehingga 20 Januari 2015, kesemua parameter mematuhi kualiti air mentah yang disyorkan di dalam Garis Panduan Kualiti Air Minum Kebangsaan oleh KKM.

Pensampelan bagi tahun 2015 yang terkini dilakukan adalah pada 18 Februari 2015. Ianya dilakukan secara mingguan terhadap kolam-kolam yang digunakan untuk pengepaman.

Keputusan-keputusan analisa pensampelan ini juga telah dimuatnaik ke portal LUAS bermula pada 14 Jun 2014 yang lepas untuk rujukan semua.

Perkara berkenaan operasi pengepaman air kolam alternatif ini telah dibincangkan di dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) dan dibentangkan di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Disember 2014.

Kerajaan Negeri Selangor juga melalui LUAS telah mengadakan satu seminar pemakluman status semasa kolam-kolam sumber air alternatif ini pada 18 Jun 2014 yang lalu untuk memberi makluman kepada masyarakat dan pihak-pihak berkaitan berkenaan status kualiti dan kuantiti air kolam-kolam sumber air alternatif Negeri Selangor.

Pada masa yang sama, pelepasan air empangan di Sg. Selangor dikawal dengan ketat melalui kelulusan daripada LUAS secara harian. Beberapa semakan pelepasan juga dilakukan sehingga 3 kali sehari untuk mengoptimakan aliran air sungai sedia ada dan sumber air daripada kolam alternatif tersebut.

Gabungan langkah pengurangan pelepasan air empangan dan pengepaman air kolam alternatif ini dapat memenuhi keperluan Loji Rawatan Air dan memanjangkan hayat kapasiti empangan.

Pihak Kerajaan Negeri tampil memberi penjelasan berikutan ada pihak cuba mengelirukan rakyat dengan meragui tahap kesihatan air mentah di kolam ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang telah memberi kenyataan mengiktiraf usaha Kerajaan Negeri dalam menangani masalah sumber bekalan air mentah.

Kerajaan Negeri Selangor mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan segala inisiatif dan langkah yang sedang dilaksanakan ini memberi kesan positif untuk kesejahteraan semua.
* Zaidy Abdul Talib adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian,dan Industri Asas Tani

Leave a Reply

Your email address will not be published.