Categories
NASIONAL

Tian Chua: Nik Aziz pemecah persepsi negatif terhadap Islam

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 13 FEB: Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Bentara Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah ulama, ahli politik dan ketua sebuah Kerajaan Negeri yang berjaya membawa dimensi baru di mata masyarakat bukan Islam negara ini.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, hal itu berikutan pendekatan adil, saksama dan layanan Allahyarham terhadap masyarakat di Kelantan tanpa mengira kaum memberi contoh yang wajar diikuti pemimpin lain.

nik aziz speech 02“Dia seorang ulama, ahli politik, bapa dan negarawan. Dia menunjukkan kepada kita contoh pemimpin sebenar dan antara pencapaian beliau lebih 20 tahun mentadbir Kelantan apabila berjaya memecahkan tanggapan sempit terhadap parti Islam.

“Dia juga berjaya menunjukkan pemerintahan Islam yang dibawa partinya boleh melayani semua penganut pelbagai agama dengan adil,” katanya selepas menjadi panelis ‘Anwar Dipenjara: Masa Depan Politik Malaysia’ di bangunan @Kini, di sini, malam tadi.

Tian Chua berkata, kehilangan itu memberi inspirasi kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk memperkukuhkan lagi kesepakatan tiga parti iaitu PKR, PAS dan DAP.

“Pemergiannya yang hanya beberapa hari selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara amat menyedihkan tetapi meraka ini memberikan inspirasi dan menjadikan kami semakin bersemangat untuk bekerja lebih keras,” katanya.

Tian ChuaKatanya, Allahyarham juga adalah individu bertanggungjawab memberi dorongan kepada beliau untuk menyertai parti politik ketika era reformasi 2008.

“Saya amat berterima kasih kepada beliau dan percaya rakyat Malaysia turut bersedih atas pemergiannya tetapi apa yang penting semangat, keberanian serta kebijaksanaan Tok Guru akan kekal abadi bersama kita,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.