Categories
SELANGOR

Adun terjah kawasan banteras denggi

Oleh: AFEEQA AFEERA

SERI SERDANG, 2 MAC : Bagi mengawal penularan wabak denggi yang meningkat, DUN Seri Serdang mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kerja pembersihan di sekitar kawasan itu secara berkala.

Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail, berkata beberapa siri terjah turut dijalankan di sekitar premis perniagaan dan kawasan perumahan untuk memantau tahap kebersihan terutama di kawasan parit dan longkang.

seri serdang -adunKatanya pihak DUN turut menjalinkan kerjasama erat dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan pejabat Ahli Parlimen Serdang untuk membincangkan tindakan segera sekiranya berlaku sebarang masalah.

“Kita sedang giat membanteras masalah denggi kerana di Puchong ini adalah kawasan paling tinggi mencatatkan kes denggi dengan hampir setiap minggu pasti ada pesakit yang terkena wabak itu.

“Jadi saya ambil inisiatif yang cukup drastik supaya semua zon prihatin dengan isu denggi selain menjalankan pemantauan berhubung kutipan sampah dan pembersihan kawasan longkang bagi mengelakkan masalah ini terus berlaku,” katanya kepada Selangor Kini.

Selain itu, katanya tumpuan turut diberikan terhadap kutipan sampah oleh kontraktor lantikan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan sisa pepejal dikutip secara konsisten.

Katanya beliau akan berhubung secara terus dengan pihak PBT sekiranya terdapat aduan sampah tidak dikutip di kawasan perumahan mahupun premis perniagaan.

“Isu sampah ini menjadi keutamaan saya kerana merata-rata kawasan mempunyai sampah, bukan nak salahkan mana-mana pihak tetapi ramai pendatang asing yang datang ke DUN Seri Serdang adalah orang yang tidak berdisiplin.

“Mereka buang sampah sesuka hati, saya banyak sarankan supaya pihak berkenaan memastikan pendatang asing tidak berkeliaran sesuka mereka,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.