Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Seri Serdang sedia bas mudahkan orang ramai ke PPV esok

SHAH ALAM, 8 OGOS: Pengangkutan percuma disediakan kepada orang ramai untuk hadir ke program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang esok.

Pusat Khidmat Masyarakat menerusi Facebook memaklumkan terdapat enam stesen bas disediakan untuk pengunjung hadir tanpa janji temu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Aurora Place Bukit Jalil yang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Berdasarkan infografik yang dikongsi, pergerakan bas berlaku setiap dua jam sebanyak lima kali bermula dari jam 8 pagi dan berakhir 4 petang.

Antara individu yang dipelawa ialah warganegara dan bukan warganegara, berusia 18 tahun ke atas serta belum mendapat janji temu MySejahtera atau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Penerima juga disarankan membuat prapendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan mengisi kod baucar SELVAXAURORA.

Enam stesen bas yang disediakan:

1. Restoran Padi, Pusat Industri Puchong Utama

2. Masjid Istiqamah Kampung Sri Langkas

3. KRT Taman Seri Serdang

4. Caltex Pangsapuri Sri Indah, Lestari Perdana

5. Pangsapuri Seri Mas, Pinggiran Putra

6. Taman Lestari Putra.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Warga asing hargai Selvax, mampu kekang penularan Covid-19

BUKIT JALIL, 29 JULAI: Seorang warga Bangladesh menganggap tawaran Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti kepada warga asing mampu mengekang penularan Covid-19 dalam negara ini.

Muhd Sulaiman Abdul Karim, 35, berkata memandangkan wabak itu berisiko menjangkiti sesiapa sahaja, golongan sepertinya juga perlu mendapatkan pelalian secepat mungkin.

Mohd Sulaiman Abdul Karim, 35. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya bekerja kilang dan bercampur dengan warga tempatan jadi sekiranya dijangkiti, mereka berisiko terjangkit. Mereka galakkan dan bantu daftar supaya jangkitan antara kami tidak tinggi,” katanya ketika ditemui di program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang semalam.

Program yang berjalan dua hari itu melibatkan 2,600 pendaftaran termasuk kira-kira 200 warga asing yang memiliki permit sah turut menerima suntikan pelalian secara percuma.

Sementara itu seorang suri rumah sanggup membatalkan janji temu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diterimanya Jumaat ini demi mendapatkan tempat vaksinasi yang sama dengan ahli keluarga lain.

“Semalam (Selasa) saya terima panggilan tapi batalkan sebab mahu sertai Selvax Komuniti bersama ibu dan abang ipar. Ini lebih mudah kerana kami boleh datang bersama selain dekat dengan rumah,” kata Nuryani Abu Bakar, 29.

Edward Kong Jia Liang, 35. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bagi Edward Kong Jia Liang, 35, yang merupakan seorang jurutera berkata dia gembira mendapatkan vaksin lebih cepat dari jangkaan selepas membatalkan giliran pada 22 Julai lalu yang dimohon menerusi Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca.

“Saya sepatutnya terima vaksin di PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam tetapi batalkan selepas risau dengan jangkitan wabak dalam kalangan petugas di situ.

“Kebetulan saya lihat tawaran Selvax ini dan terus memohon. Hari ini (semalam) disuntik tanpa perlu tunggu giliran semula di PICK,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peserta saringan tidak lagi was-was buat ujian calitan

SERI KEMBANGAN, 26 JUN: Jika dahulu Anna Wong agak ragu-ragu terhadap saringan Covid-19 kerana bimbang perhimpunan orang ramai bakal meningkatkan risiko jangkitan dan mencetuskan kluster baharu.

Namun, wanita berusia 24 tahun itu membuktikan sebaliknya apabila buat pertama kali menyertai saringan bersasar anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Stadium MBSJ Serdang Jaya semalam.

Anna Wong

Penuntut kolej swasta itu mengakui nekad merasai sendiri pengalaman membuat ujian calitan bersama orang awam selain melihat proses pengambilan sampel dijalankan petugas kesihatan Klinik Selcare.

“Sebelum ini saya hanya buat saringan di klinik swasta kerana tidak mahu beratur panjang dan berhimpun dengan ramai orang. Walaupun sering melihat hebahan program percuma ini di media sosial, tetapi saya seperti kurang yakin.

“Kebetulan hari ini ada program saringan diadakan berdekatan rumah, jadi apa salahnya saya cuba dulu. Jika diikutkan rasa ragu-ragu itu masih ada, namun saya tetap teruskan dan mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Mohd Abu Hanifah Ibrahim

“Sejujurnya, apa yang difikirkan selama ini jauh berbeza. Proses saringan sangat cepat dan teratur malah fasiliti disediakan kepada pengunjung selesa selain dibekalkan makanan serta minuman ,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Seorang lagi peserta, Mohd Abu Hanifah Ibrahim, 35, berkata beliau sanggup meninggalkan seketika tugasan pejabat yang perlu disiapkan di rumah kerana enggan mensia-siakan peluang percuma itu.

K Ganapathy

“Ini pengalaman pertama saya buat saringan selepas tengok ada iklan di Facebook dan ‘curi’ masa kerja sekejap memandangkan rumah pun tidak jauh dari sini.

“Dengan perebakan pantas Covid-19, penting untuk kita buat pemeriksaan bagi mengenal pasti tahap kesihatan ditambah pula banyak kes tanpa simptom,” kata pembantu tadbir syarikat swasta itu.

Sementara itu, K Ganapathy, 53, berharap masyarakat memanfaatkan program saringan percuma ditawarkan Kerajaan Negeri tanpa perlu ke klinik swasta bagi mendapat perkhidmatan yang sama untuk meringankan kos.

“Kalau mereka pergi klinik sudah tentu kena bayar sehingga RM200, jadi ambil peluang ini sebaik-baiknya,” kata bapa empat anak yang turut membawa isteri menjalani saringan tersebut.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Penjaja di Dataran Puchong Permai terima 12 gerai mudah alih

PUCHONG, 17 JAN: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang memberi sumbangan 12 gerai mudah alih dan sebuah motosikal roda tiga kepada penjaja sekitar Puchong Permai hari ini.

Wakil rakyatnya Dr Siti Mariah Mahmud berkata kemudahan dengan harga keseluruhan berjumlah RM4,800 ditempatkan di Pusat Penjaja Dataran Puchong Permai.

“Kerajaan Negeri mahu memastikan penjaja mempunyai tempat khusus untuk berniaga selain membantu meningkatkan pendapatan mereka susulan penularan Covid-19.

“Bantuan gerai bergerak masih dibuka, justeru saya berharap penjaja tepi jalan terutama di Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai hadir ke pejabat DUN untuk mohon bantuan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Gerai Mudah Alih di Dataran Penjaja Puchong Permai hari ini.

Siti Mariah berkata Dataran Penjaja tersebut boleh menempatkan lebih 60 penjaja selain tempat strategik yang menjadi tumpuan orang ramai terutama hari minggu.

Pada 11 Januari, Dato’ Menteri Besar berkata rundingan bersama penjaja Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai berhubung penempatan lokasi baharu sedang dilaksanakan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walau keputusan tersebut sukar diterima namun penjaja perlu berpindah kerana lokasi itu ketika ini menjadi punca kesesakan jalan raya.

Pada 28 Disember 2020, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab jalan dan melanggar syarat.

MBSJ berkata penjaja di kawasan tersebut diberi masa mencukupi untuk berpindah sejak 2019.

Categories
SELANGOR

Adun terjah kawasan banteras denggi

Oleh: AFEEQA AFEERA

SERI SERDANG, 2 MAC : Bagi mengawal penularan wabak denggi yang meningkat, DUN Seri Serdang mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kerja pembersihan di sekitar kawasan itu secara berkala.

Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail, berkata beberapa siri terjah turut dijalankan di sekitar premis perniagaan dan kawasan perumahan untuk memantau tahap kebersihan terutama di kawasan parit dan longkang.

seri serdang -adunKatanya pihak DUN turut menjalinkan kerjasama erat dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan pejabat Ahli Parlimen Serdang untuk membincangkan tindakan segera sekiranya berlaku sebarang masalah.

“Kita sedang giat membanteras masalah denggi kerana di Puchong ini adalah kawasan paling tinggi mencatatkan kes denggi dengan hampir setiap minggu pasti ada pesakit yang terkena wabak itu.

“Jadi saya ambil inisiatif yang cukup drastik supaya semua zon prihatin dengan isu denggi selain menjalankan pemantauan berhubung kutipan sampah dan pembersihan kawasan longkang bagi mengelakkan masalah ini terus berlaku,” katanya kepada Selangor Kini.

Selain itu, katanya tumpuan turut diberikan terhadap kutipan sampah oleh kontraktor lantikan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan sisa pepejal dikutip secara konsisten.

Katanya beliau akan berhubung secara terus dengan pihak PBT sekiranya terdapat aduan sampah tidak dikutip di kawasan perumahan mahupun premis perniagaan.

“Isu sampah ini menjadi keutamaan saya kerana merata-rata kawasan mempunyai sampah, bukan nak salahkan mana-mana pihak tetapi ramai pendatang asing yang datang ke DUN Seri Serdang adalah orang yang tidak berdisiplin.

“Mereka buang sampah sesuka hati, saya banyak sarankan supaya pihak berkenaan memastikan pendatang asing tidak berkeliaran sesuka mereka,” katanya lagi.

EZY