Categories
SENI

CERPEN: Deus Ex Machina

Oleh Aziz Zabidi

Novel berjudul Desa Tercinta itu saya baca 15 tahun dahulu. Novel itu adalah salah satu novel dalam siri ‘Novel Remaja Gemilang’ yang menjadi pilihan perpustakaan-perpustakaan sekolah waktu itu. Novel itu masih saya simpan. Saya terlupa pulangkan ke perpustakaan sekolah setelah meminjamnya dulu.

Sebagai seorang remaja, saya memang hanya membaca novel-novel yang dipiawaikan sebagai novel remaja seperti itu. Tanpa pengesahan, mungkin saya akan tersalah baca novel untuk dewasa. Risiko membaca novel-novel dewasa besar sekali.

“Besar sekali.” Kata guru saya.

Seingat saya ceritanya sederhana. Dua orang remaja bercita-cita menjadikan kampung mereka juara Pertandingan Kampung Terindah yang dianjurkan pihak kerajaan. Sepanjang sejarah, kampung mereka belum pernah menang pertandingan itu kerana sifat-sifat mazmumah penduduk kampung, yang antara lainnya termasuklah suka membuang sampah merata-rata.

Walau banyak rintangan dan tentangan, sebagai sebuah novel remaja yang wajib punya moral yang baik, sudah pastilah cita-cita dua remaja itu akhirnya berjaya.

Dengan bantuan ketua kampung yang bijaksana, dua remaja tadi akhirnya berjaya meyakinkan penduduk kampung untuk berubah. Kampung mereka menang pertandingan kampung terindah tahun tersebut, dan dua remaja tadi diberi sijil penghargaan oleh pegawai daerah.

Sempurna bukan.

“Karya yang memperindah moral pembaca adalah karya yang sempurna.” Kata guru saya lagi.

Tapi yang menyentuh saya – sewaktu membaca novel Desa Tercinta itu – bukanlah hal-hal moral. Yang lebih menarik imaginasi saya waktu itu adalah kemunculan watak tambahan dalam novel tersebut. Anak gadis penghulu kampung.

Anak gadis itu, yang cantik dan pintar tentunya, adalah watak pembantu yang sering memberi kata-kata semangat kepada kedua-dua watak utama sewaktu mereka seakan hilang pedoman berhadapan cemuhan dan tentangan daripada orang-orang kampung.

Saya membayangkan anak gadis ketua kampung itu adalah seperti gadis idaman saya di sekolah. Cantik dan pintar. Bezanya, gadis di dalam novel itu sering memberikan kata semangat kepada hero-hero dalam cerita, manakala gadis idaman saya itu tidak pernah mahu bercakap dengan saya.

Oh, lupakan kisah saya dan gadis idaman masa remaja saya itu.

Yang ingin diceritakan di sini sebenarnya ialah cerita saya sekarang. Cerita selepas 15 tahun meninggalkan sekolah.

Hari itu, sewaktu bermain solitaire maya di pejabat, saya menerima emel yang mencurigakan.

Selamatkan Desa Tercinta. Tolonglah! Itu tajuk emelnya.

Isi emel itu agak mengejutkan saya. Saya perturunkan di sini:

Salam hormat.

Saudara, saya perlu pertolongan kamu. Saya penulis asal novel Desa Tercinta yang pernah kamu baca berbelas tahun dahulu. Saya telah mati. Lima tahun dahulu. Kematian memang mengerikan untuk tukang khayal seperti saya.

Nanti jika ada kesempatan saya akan bercerita lebih lanjut dengan kamu, dan waktu itu kamu akan berhenti jadi pengkhayal. Tapi untuk kali ini saya perlu pertolongan kamu.

Begini, saya perlu bantuan kamu untuk menulis semula novel Desa Tercinta. Saya tidak mampu lagi menerima tekanan psikologi daripada dua watak utama dalam novel itu.

Setiap hari mereka mendera saya dengan soalan-soalan yang membosankan. Setiap hari mereka akan mengunjungi saya, (dari ruang limbo mereka itu) berdiri di depan dan belakang saya dan akan berulang-ulang bertanya soalan yang sama kepada saya.

Mereka ingin tahu siapa sebenarnya antara mereka yang dicintai oleh gadis cantik itu! Mereka mengatakan saya bersikap tidak adil kerana tidak memberi kepuasan jiwa kepada mereka sewaktu saya mengakhiri novel itu.

Saya hanya memuaskan pembaca, kata watak pertama. “Malah tidak!” kata watak kedua pula, saya hanya memuaskan hati penerbit dan bukannya pembaca, katanya.

Mereka mahu keadilan dan hak asasi mereka ditegakkan. Sedangkan seperti yang kamu tahu saya tidak mampu. Hubungan saya dengan dunia kamu telah terputus.

Saya sangat berharap kamu dapat menulis kembali novel itu dan menamatkan seksaan saya. Kamu harus tulis penamat yang baru untuk novel itu!

Kedua-dua remaja itu bukan sahaja perlu mendapat sijil penghargaan, malah pada akhirnya, gadis tersebut juga perlu memilih untuk mencintai salah seorang daripada mereka.

Mereka berkahwin dan mereka akan hidup aman bahagia ke anak cucu. Itulah pengakhiran yang ideal untuk semua orang. Untuk watak, untuk cerita, untuk penulis juga.

Soal siapa yang dipilih oleh gadis itu saya serahkan sepenuhnya kepada kamu. Saya tidak kisah. Asalkan saya lepas bebas daripada seksaan soalan-soalan mereka yang membosankan itu.

Tolonglah tulis. Saya pasti kamu akan mengasihani saya yang tidak berdaya ini.

Salam hormat.

Membaca emel ini membuatkan saya kembali mendapat semangat hidup daripada kebosanan bermain solitaire. Rupanya si penulis itu terseksa juga. Saya simpati, tetapi saya juga gembira dia diseksa begitu.

Bayangan wajah gadis idaman zaman sekolah yang sampai hari ini tidak saya berpeluang bercakap-cakap dengannya itu kembali ke ingatan.

Malam itu saya membuka komputer dan mula menyalin sepatah demi sepatah kata dan ayat dari novel Desa Tercinta. Saya menulis semula novel itu, berdasarkan kaedah Encik Pierre Menard menulis (semula) novel Don Quixote.

Pada akhir cerita – klimaks yang penting itu – saya memunculkan satu batalion tentera infantri ke dalam cerita. Mereka itu, beserta semangat perang saudara yang membuak-buak, dengan rakusnya menyerang, menembak dan menakluk Desa Tercinta.

Pada akhirnya, keputusan pertandingan kampung terindah tidak sempat diputuskan. Sijil penghargaan tidak sempat diberikan. Tiada siapa yang berkahwin atau bahagia ke anak cucu. Roh penulis itu pasti berterima kasih kepada saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.