Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: 10,316 premis diperiksa, MBSA keluar 156 kompaun

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 19 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sentiasa mengambil langkah agresif dalam mengawal dan menjalankan pemeriksaan gerak gempur denggi bagi memastikan wabak berkenaan dapat dikurangkan.

MBSA menjalankan aktiviti kawalan berdasarkan notifikasi kes demam denggi yang diterima dari hospital bagi memastikan penduduk Shah Alam bebas daripada penularan wabak yang boleh meragut nyawa itu.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, pada minggu ke-10 (8 Mac sehingga 14 Mac) kes demam denggi dilaporkan menurun 214 kes daripada minggu sebelumnya iaitu 286 kes membabitkan 72 penurunan.

Terjah denggi MB di Seksyen 6 Shah Alam (1)“Setiap masa, MBSA akan mengadakan aktiviti kawalan dan pemeriksaan di setiap kawasan Shah Alam.

“Bermula awal tahun sehingga 14 Mac lalu, 10,316 premis diperiksa bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran termasuk rumah kediaman, kedai dan sekolah untuk memastikan tiada jentik-jentik di kawasan terbabit.

“Dalam tempoh sama, MBSA mengeluarkan 156 kompoun kepada premis yang tidak menjaga kawasan sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Selain itu, katanya, MBSA membuat semburan fogging di 149,691 premis bagi tujuan memutuskan rangkaian penyakit demam denggi dengan membunuh nyamuk dewasa yang mungkin menjadi pembawa virus berkenaan.

“Pada masa sama, kami membuat kempen melalui 39,945 edaran risalah dan 665 poster sudah diedarkan kepada penduduk kawasan pentadbiran MBSA. Kita juga menjalankan 28 aktiviti gotong-royong bagi membanteras kes demam denggi,” katanya.

MBSA-Shahrin AhmadShahrin berkata, MBSA menyeru warga Selangor untuk berusaha menjaga persekitaran rumah dan tempat awam bagi mengekang penularan wabak denggi.

Beliau berkata, orang ramai perlu bertanggungjawab menjaga kawalan sampah dan air takungan serta tidak terlalu bergantung kepada MBSA sahaja kerana ia akan lebih berkesan hasil tindakan bersama.

“Saya berharap penduduk setempat mengambil masa 10 minit seminggu untuk memastikan kawasan sekitar tiada bekas takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes.

“Jika terdapat sebarang pertanyaan berkenaan wabak berkenaan, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan denggi MBSA, di talian
03-55222793,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.