Categories
SELANGOR

MB: Setuju bincang jika Kerajaan Pusat iktiraf kedaulatan tanah & air Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 MAC: Perjanjian utama pengstrukturan semula industri air Selangor terlupus dengan sendirinya berikutan keengganan Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip dan semangat perjanjian terdahulu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri berasa dukacita kerana perjanjian itu gagal diteruskan seperti yang sepatutnya.

“Seperti diumumkan apabila saya mengambilalih tugas dan amanah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor pada September tahun lalu, pentadbiran ini sedia menghormati segala perjanjian ditandatangani.

Azmin Air“Bagaimanapun, pentadbiran ini tidak boleh membenarkan pelaksanaan perjanjian yang bercanggah daripada prinsip dan semangat yang dipersetujui.

“Percanggahan dari perjanjian utama cuba dilaksanakan Kerajaan Persekutuan akan menyaksikan Kerajaan Negeri hilang kedaulatan ke atas tanah dan aset air dimiliki.

“Saya yakin rakyat dan pengguna air akan menyokong pendirian diambil Kerajaan Negeri kerana isu kedaulatan pemilikan tanah dan aset air bukan sesuatu yang boleh diserah milik dengan sewenang-wenangnya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri bersedia berbincang jika Kerajaan Persekutuan bersetuju mengiktiraf kedaulatan tanah dan aset air milik Selangor dan tidak membuat tuntutan yang bercanggah dengan semangat perjanjian yang termeterai, pada 12 September 2014.

EmpanganKegagalan pelaksanaannya adalah akibat pendirian terkini Kerajaan Persekutuan yang enggan menghormati prinsip dan semangat perjanjian utama iaitu mengiktiraf pemilikan aset air Selangor berjumlah RM14.9 bilion yang bakal disuntik ke dalam Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ia juga perlu mengiktiraf dan menerima pemindahan RM2 bilion dari aset air milik Air Selangor bagi tujuan penyediaan dana kepada agensi itu bagi mengambilalih semua konsesi air di Selangor dan mengeluarkan Lesen Kemudahan kepada Air Selangor sebagai pengiktirafan pemilikan semua baki aset air dimilikinya.

Kerajaan Persekutuan juga perlu meluluskan pemeteraian perjanjian kemudahan dan sewaan di antara Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor bagi penyewaan aset air yang akan dipindahkan kepada PAAB.

Berikutan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memantau dan memastikan bekalan air di Selangor dapat dibekalkan kepada pengguna secara berterusan seperti diumumkan, pada 5 Mac lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.