Categories
NASIONAL

Rafizi: “Saya sudah isytihar harta, Najib bila lagi?”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 MAC: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini memaklumkan beliau sudah melaksanakan akuan berkanun (SD) mengisytiharkan harta, pendapatan dan perbelanjaannya secara terperinci susulan cabaran daripada pemimpin Umno sebelum ini.

Beliau berkata, akuan bersumpah itu menunjukkan latar belakang berkenaan pendapatan dan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen termasuk sebelum menyertai arena politik dan menjadi wakil rakyat.

Katanya, perincian berkenaan turut disertakan dengan bukti dokumen penyata bank, simpanan dan dipaparkan secara terbuka di blog serta laman sosial peribadinya untuk makluman umum.

umno-kekal“Saya percaya jika saya yang tidak mempunyai sebarang jawatan kerajaan dan tidak mempunyai kuasa boleh mengisytiharkan harta, maka menjadi tanggungjawab moral serta amanah bagi setiap Menteri Kabinet hingga ke Perdana Menteri untuk turut mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan juga perbelanjaan.

“Saya menasihatkan Datuk Seri Najib Razak menggunakan kaedah ini untuk membersihkan namanya yang dikaitkan dengan kemewahan yang tidak berpadanan dengan gaji.

“Jika benar beliau mewarisi harta yang banyak daripada Allahyarham Tun Abdul Razak seperti kenyataan Pejabat Perdana Menteri, maka beliau perlu memperincikan setiap harta warisan itu seperti saya,” katanya.

rafiziRafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata, beliau yakin langkah mengisytiharkan harta seperti yang dilaksanakannya akan mendapat sokongan penuh daripada rakyat.

Rafizi bertindak mengisytiharkan harta, pendapatan dan perbelanjaannya secara terperinci susulan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mencabarnya berbuat demikian.

Syed Ali mencabar pimpinan Pakatan Rakyat (PR) membuat pengisytiharan harta sebelum mengkritik kekayaan Najib dan pimpinan Barisan Nasional (BN) lain.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.