Categories
SELANGOR

Polis: Curi peti surat boleh dihukum penjara 7 tahun

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 MAC: Perbuatan mencuri peti surat sama seperti kesalahan jenayah lain di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli.

“Mencuri peti surat memang menyusahkan masyarakat yang mungkin menyebabkan dokumen mereka tak selamat kerana penutup peti surat dicuri.

“Biasanya, peti surat yang diperbuat daripada besi dicuri untuk dijual di pusat jualan besi buruk. Ia adalah kesalahan mencuri di luar premis dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

peti-surat-rosakYahaya berkata, isu kecurian peti surat boleh dikurangkan dengan mewujudkan kerjasama penduduk setempat yang peka dengan tindakan mencurigakan orang yang tidak dikenali.

“Biasanya kalau di kondominium atau pangsapuri berpagar ada pengawal keselamatan. Penduduk dan persatuan boleh bekerjasama dengan pengawal keselamatan.

“Begitu juga dengan pangsapuri terbuka. Sikap prihatin mampu membendung kecurian bukan sahaja peti surat tetapi harta benda lain dan polis pula pantau pusat jualan besi buruk,” katanya.

Bagaimanapun, Yahaya meberitahu, sehingga kini polis Subang Jaya tidak menerima sebarang aduan khusus berkenaan kehilangan peti surat.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.