Categories
SELANGOR

Proses baik pulih Masjid Negeri ikut perancangan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 MAC: Proses baik pulih Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam akan berjalan seperti yang diputuskan bagi mengindahkan semula salah satu mercu tanda Bandaraya Shah Alam itu, kata Exco Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Ahmad Yunud Hairi.

Katanya, kerja menyelenggara Masjid Shah Alam dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan kerja menaik taraf kubah pula dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Projek baik pulih ini berjalan lancar seperti yang dirancang dan dijangka kerja menaik taraf kubah masjid akan dimulakan April ini dengan tempoh 18 bulan untuk disiapkan.

Masjid Shah Alam“Peruntukan untuk menaik taraf tidak menjadi isu. Begitu juga dengan kerja menyelenggara,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Sebelum ini, penduduk Shah Alam melahirkan rasa kecewa ekoran kubah masjid yang menjadi simbol keilmuan Islam di Shah Alam kelihatan seperti tidak diselenggarakan dengan baik.

Ekoran itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, mengumumkan Kerajaan Negeri akan menjalankan projek menaik taraf kubah masjid berkenaan.

Projek itu akan dilaksanakan secara tender terbuka yang disiarkan di media cetak, pada 12 Februari dan ditutup 12 Mac lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.