Categories
SELANGOR

Pencemaran ammonia ganggu operasi LRA Bukit Tampoi

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 MAC: Tindakan segera terus diambil ekoran pemberhentian operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi akibat pencemaran Ammonia di dalam Sungai Langat, bermula jam 2 petang, semalam.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri antara lain membuat pelepasan air Empangan Langat sebanyak 250 juta liter sehari (JLH).

loji air“Tindakan ini untuk meningkatkan kadar alir dan faktor pencairan (dilution factor) di dalam Sungai Langat.

“Kita juga membuat pelepasan air ‘ingres’ terowong penyaluran air mentah daripada Pahang sebanyak 35 JLH,” katanya dalam satu kenyataan,lewat malam tadi.

Selain itu, Zaidy berkata, pihak Indah Water Konsortium (IWK) diarah memantau semua loji rawatan kumbahan (STP) di bawah kawal selia mereka untuk merendahkan pelepasan Ammonia.

Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) juga dihubungi untuk melakukan semakan terhadap STP persendirian.

Langkah lain termasuk pemasangan pam untuk operasi pengepaman air Sungai Langat ke dalam Kolam Bukit Tampoi dan seterusnya ke muka sauk akan dilaksanakan dengan kadar segera.

Zaidy“Semua pihak yang terlibat sedang bertungkus-lumus memastikan keadaan ini dan bekalan air ke sekitar kawasan Kuala Langat kembali pulih.

“Kerajaan Negeri amat kesal di atas insiden yang berlaku dan menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama dalam usaha menangani isu ini secara bersepadu,” katanya.

Semalam, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menerima maklumat daripada Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) berkenaan peningkatan parameter Ammonia dalam Sungai Langat.

Sehubungan itu, LRA Bukit Tampoi mengurangkan jumlah pengepaman air mentah kepada 18 JLH daripada 37 JLH dan seterusnya menghentikan operasi loji pada jam 2 petang apabila bacaan Ammonia mencecah sehingga 4.2 ppm.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.