Categories
SELANGOR

ADN pembangkang sambut baik IPR diteruskan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Kesinambungan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bukan hanya mendapat respon positif wakil kerajaan, malah ia turut disambut baik pembangkang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi bersetuju pensejajaran program itu perlu dilaksanakan bagi memperkasakan manfaat IPR kepada rakyat.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga sebelum pembentangan belanjawan, respon Kerajaan Negeri adalah meneruskan program ini, manakala persepsi rakyat ia diteruskan tanpa pindaan.

“Saya melihat kedudukan kewangan negeri masa kini menyebabkan berlaku penjajaran IPR, malah ia terus diperkasa tetapi bukan secara terpilih atau ambil mudah,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau berpendapat pensejajaran itu juga tidak dibuat secara menyeluruh dan dibincangkan secara tuntas.

“Sebagai contoh, tiada perkembangan baru program Skim Mesra Usia Emas walaupun mendapat respon meluas supaya diberikan juga kepada penerima semasa hayat.

“Program insentif perkahwinan belia turut mendapat bantahan ramai ADN kerajaan, malah Pemuda Amanah turut menghantar memorandum kepada kerajaan. Ini menunjukkan tiada perbincangan baik dalam kerajaan itu sendiri,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pengecualian fi lesen dan cukai taksiran perlu disemak semula kerana ia membabitkan pendapatan kepada negeri bagi mengurus keperluan rakyat.

“Bukan memansuhkan keputusan dulu tetapi ada kadar yang perlu dibayar untuk membolehkan pembangunan negeri diteruskan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jabatan Perikanan puji inisiatif MDKL pulihara ekosistem

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 11 MAC : Jabatan Perikanan Selangor memuji inisiatif Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) melepaskan benih ikan siakap di sungai Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, di sini, semalam.

Benih ikan siakap bersaiz kira-kira empat inci itu dilepaskan bertujuan meningkatkan populasi ikan semulajadi untuk manfaat ekosistem serta menambahkan hasil tangkapan para nelayan.

Bagaimanapun, Jabatan Perikanan Selangor mengenal pasti beberapa ancaman populasi ikan semakin berkurang berpunca dari keadaan cuaca, pencemaran dan penggunaan alat yang tidak dilesenkan atau dibenarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Pegawai Jabatan Perikanan Selangor, Cawangan Pengurusan Sumber dan Pelesenan, Mohd Rozhan Zakaria berkata, antara peralatan dilarang digunakan adalah bubu naga, pukat sorong dan belat.

“Peralatan seperti belat berupaya memerangkap anak ikan gred A (siakap, ikan merah, jemuduk) dan udang ketika air surut kerana saiz jaring terlalu kecil menjadikan hasil tangkapan nelayan terutama di kawasan persisiran berkurangan.

“Jabatan Perikanan Selangor khususnya Pejabat Perikanan Daerah Kuala Langat sentiasa membuat pemantauan dan operasi rampasan peralatan yang tidak sah itu,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Rozhan berkata, pelepasan benih di kawasan paya bakau amat sesuai kerana ia merupakan habitat semulajadi ikan seperti siakap dan udang laut membesar.

“Jika ada agensi berhasrat melaksanakan aktiviti seperti pelepasan benih ke perairan umum ini boleh berurusan terus ke Pejabat Perikanan Daerah atau menghubungi Pejabat Perikanan Selangor di Shah Alam,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyempurnakan Majlis Pelepasan Benih Umum dan Pemuliharaan Kawasan Paya Bakau di Taman Rekreasi Paya Bakau, di sini, semalam.

1,000 benih ikan siakap dilepaskan bertujuan memelihara habitat semulajadi ikan berkenaan daripada diancam kepupusan.

Program itu adalah anjuran MDKL bersama Jabatan Perikanan Selangor dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Categories
SELANGOR

Bendung masalah buang sampah luar tong

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 11 MAC: Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menegaskan kepada seluruh masyarakat supaya membendung masalah pembuangan sampah di luar tong.

Ahmad Yunus berkata, masalah sedemikian berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang tidak mempunyai kesedaran dalam menjaga alam sekitar.

“Kerajaan Negeri berusaha membekalkan tong sampah terutamanya di kawasan kampung tradisi, namun masih ada segelintir masyarakat suka melonggokan sampah di luar tong.

“Tong ini dibekalkan bertujuan membuang sisa domestik, namun lain pula jadinya apabila ada antara masyarakat membuang sofa, almari dan sampah yang tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Benih Umum dan Pemuliharaan Kawasan Paya Bakau di Taman Rekreasi Paya Bakau,Sijangkang, di sini, semalam.

Ahmad Yunus berkata, masyarakat tidak boleh hanya bergantung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja untuk menguruskan soal sampah mahupun alam sekitar.

“Masyarakat perlu sama-sama melibatkan diri dan bekerjasama membantu dalam memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara.

“Golongan dewasa memainkan peranan penting dan perlu menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda terutamanya kanak-kanak kerana pentingnya didikan awal,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Yunus turut melaksanakan kempen “Desaku Bebas Daripada Sampah Jalanan” dengan mengagihkan 200 uncang beg kepada orang awam yang hadir.

Ahmad Yunus berkata, pengagihan beg uncang bertujuan mendidik masyarakat menjaga alam sekitar dengan meletakkan sampah ke dalam beg berkenaan dahulu sebelum ia dilupuskan dengan cara baik.

“Saya amat mengharapkan masyarakat tidak membuang sampah merata-rata atau ke dalam saliran yang menuju ke laut.

“Keadaan ini bakal memusnahkan alam sekitar dan ekosistem, selain berupaya membunuh tumbuhan serta memusnahkan hidupan marin,” katanya.

Categories
SELANGOR

1,000 ikan dilepaskan demi pemuliharaan paya bakau

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 10 MAC: 1,000 benih ikan siakap dilepaskan demi pemuliharaan paya bakau di sungai Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, di sini, hari ini.

Pelepasan benih ikan disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Ahmad Yunus berkata, pelepasan benih ikan itu penting bagi memelihara habitat semulajadi ikan berkenaan daripada diancam kepupusan.

“Saiz ikan siakap dilepaskan tadi kira-kira empat inci yang dijangka ikan akan membesar dan hasilnya dapat dituai dalam masa tujuh hingga lapan bulan akan datang.

“Selain itu, turut diadakan aktiviti menanam pokok bakau oleh mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertujuan memulihara kawasan paya bakau dan memastikan generasi akan datang dapat menikmati kehidupan mampan dan lestari dengan ekosistem baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Benih Umum dan Pemuliharaan Kawasan Paya Bakau di Taman Rekreasi Paya Bakau,Sijangkang, di sini, hari ini.

Program anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan Selangor dan USIM.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof Dato’ Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, program sebegini amat bagus dilaksanakan dan dibudayakan dalam diri masyarakat.

“Program menanam pokok bakau dalam kalangan mahasiswa harus dididik supaya mereka sedar betapa pentingnya penjagaan alam sekitar.

“Hal ini akan diuar-uarkan kepada seluruh mahasiswa USIM supaya generasi akan datang turut sama bergerak melakukan aktiviti sedemikian,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tindakan serius kepada sekolah agama tidak berdaftar

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 10 MAC: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan serius kepada mana-mana sekolah agama di Selangor yang tidak mendaftar di bawah garis panduan pendaftaran dan keselamatan yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pihaknya amat menekankan perkara itu ekoran terdapat banyak sekolah agama di terutamanya sekolah tahfiz belum berdaftar dan mengabaikan keselamatan pelajarnya.

“Melalui pelaksanaan ini, satu garis panduan dikemas kini akan diberikan yang mana kita meletakkan jangka masa sesuai untuk sekolah mendaftar, sama ada dalam tempoh setahun atau enam bulan.

“Sekiranya sekolah itu sudah melepasi tempoh berkenaan, kita akan menutup operasi sekolah terbabit serta merta,” katanya selepas merasmikan Bengkel Penyediaan Garis Panduan Pendaftaran dan Keselamatan Sekolah-sekolah Agama Islam Selangor, semalam.

Ahmad Yunus berkata, ia bertujuan membolehkan semua sekolah agama dapat memenuhi syarat-syarat asas ditetapkan setelah didaftarkan.

“Apabila berlaku sesuatu kemalangan seperti kebakaran, kebanyakan sekolah persendirian seperti sekolah tahfiz ini tidak memenuhi kriteria sedia ada dan hanya berpandukan dasar atau pengurusan sekolah sahaja.

“Bagi mengelakkan perkara sama berulang, mereka seharusnya menekankan aspek lain seperti bangunan dan keselamatan kerana selain memberikan pendidikan agama, menjaga nyawa dan keselamatan adalah perkara asas.

“Kita mahu mereka jelas dengan perkara ini yang mana akhirnya sekolah berkenaan akan mempunyai sudut keselamatan iaitu tidak terdedah dengan bahaya,” katanya.

Setakat ini, terdapat 265 sekolah tahfiz berdaftar manakala lebih 170 belum berdaftar dengan jumlah pelajar lebih 20,000.

Categories
SELANGOR

JAIS sedia garis panduan keselamatan sekolah agama

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 MAC: Satu garis panduan pendaftaran dan keselamatan sekolah agama Islam di Selangor bakal dilaksanakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pada tahun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pelaksanaannya dirangka bagi memastikan setiap sekolah memenuhi aspek keselamatan.

Katanya, ia juga dilaksanakan setelah mengambil kira beberapa kejadian kebakaran yang sering berlaku di sekolah-sekolah agama.

“Kita wujudkan Jawatankuasa Pemandu bersama agensi-agensi terlibat untuk membina satu garis panduan lebih baik.

“Bagaimanapun, garis panduan telah dilaksanakan sebelum ini, namun ditambah baik dan diperkemaskan tatacara untuk pelaksanaan di sekolah-sekolah agama pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Penyediaan Garis Panduan Pendaftaran dan Keselamatan Sekolah-sekolah Agama Islam Selangor di sini, hari ini.

Ahmad Yunus berkata, ia bukanlah suatu perkara yang mudah sebaliknya menuntut kerjasama daripada semua pihak.

“Bengkel ini dijalankan untuk mendapatkan resolusi dalam menyempurnakan garis panduan yang dibuat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Komited sedia prasarana mesra OKU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 DIS: Kerajaan Negeri akan memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkasakan penyediaan prasarana lebih mesra bagi kegunaan Orang Kelainan Upaya (OKU), di Selangor.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ia membabitkan urusan pentadbiran kerajaan, pusat rekreasi dan riadah, pasar raya serta di kawasan rumah ibadah, khususnya.

“Sebagai kerajaan prihatin, rakyat akan mengambil kira keseluruhan pandangan serta cadangan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi merealisasikan program pemerkasaan jati diri warga OKU.

“Sebagai contoh, melalui dasar baru Smart Masjid yang akan dilaksanakan bermula 2018, semua masjid di Selangor secara berpingkat akan dilengkapi prasarana mesra kepada pengguna dengan teknologi terkini yang lebih canggih serta mudah digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Braille 2017 anjuran Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (PERTIS) di Hotel De Palma, Ampang, baru-baru ini.

Dr Ahmad Yunus turut menyarankan kewajaran seluruh anggota masyarakat untuk bersama menghulurkan bantuan serta bersikap peduli terhadap program pemerkasaan warga OKU.

Katanya, hal itu bagi memastikan tiada anggota masyarakat terutama OKU terpinggir daripada menikmati faedah kemakmuran yang dijana Kerajaan Negeri.

Dalam program itu, beliau turut melahirkan rasa kagum apabila dipersembahkan dengan kemampuan peserta OKU penglihatan yang berjaya menghafaz dan bertaranum dengan baik semasa mempersembahkan bacaan tilawah, setanding masyarakat normal.

“Sewajarnya program sebegini dijadikan agenda tahunan PERTIS bagi mencungkil bakat baru Qari dan Qariah dalam kalangan OKU penglihatan, sekali gus mampu bersaing dengan masyarakat normal mewakili negeri dan negara dalam pelbagai peringkat.

“Masyarakat perlu meraikan OKU sebagai insan istimewa oleh Allah SWT bagi memastikan dunia ini berada dalam keseimbangan yang adil.

“Manakala warga OKU pula perlu berjiwa besar dan bermotivasi tinggi memastikan kehadiran mereka di tengah masyarakat tidak akan memberikan kesan negatif mahupun bebanan kepada anggota masyarakat lain,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

182 Huffaz MITS terima insentif RM1,000 seorang

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 5 DIS: Kerajaan Selangor berbesar hati memberikan insentif RM1,000 setiap seorang kepada 182 huffaz Maahad Tahfiz Integrasi Selangor (MITS) yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzu’ Al-Quran.

Berita gembira diumumkan Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyaksikan kesemua huffaz menerima insentif dalam bentuk cek yang diserahkan terus kepada mereka hari ini.

“Saya merasakan satu nikmat dan setinggi kesyukuaran dalam usaha melahirkan huffaz menerusi MITS dan kita juga berjaya melahirkan huffaz tidak sampai dua tahun.

“Kita perlu terus melahirkan lebih banyak huffaz dan ulama sebagai benteng untuk menangkis tanggapan buruk terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kali Ke-5 2017 di Dewan Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus merealisasikan matlamat membina MITS di setiap daerah dengan lokasi terbaru pembinaan tahun hadapan di Hulu Langat.

Setakat ini terdapat empat MITS yang beroperasi di Sepang, Klang, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

Dalam majlis sama, Muhammad Ridhwanil Abrar Mohamad Azhar dari MITS Sabak Bernam dan Iffah Abd Rahim dipilih selaku penerima Anugerah Huffaz Cemerlang 2017 dengan masing-masing membawa pulang insentif bernilai RM5,000.

Manakala Muhammad Hafidz Sharil Izwan, 14, dipilih selaku penerima Anugerah Khas di atas kejayaan menghafal Al-Quran dalam tempoh kurang dua tahun dan membawa pulang insentif RM3,000.

Muhammad Hafidz yang ditemui selepas itu berkata beliau mula menghafal Al-Quran sejak sekolah rendah sebelum menyambung pengajian di MITS Bagan Lalang.

“Antara cabaran menghafal Al-Quran adalah malas dan mengantuk.

“Sebagai langkah mengatasi saya terpaksa rajinkan diri untuk menghafal dengan cara berdiri sambil mengunyah makanan seperti kismis. Alhamdulillah dengan berkat kesabaran saya berjaya menamatkan hafazan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Insiden baling bom semarak permusuhan kaum

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 NOV: Tindakan individu tertentu yang cuba membakar Surau Al-Huda, Damansara Damai, baru-baru ini boleh mewujudkan suasana tidak aman dalam kalangan masyarakat, di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu disifatkan sebagai perbuatan khianat bagi menggangu keharmonian kaum.

“Saya berasa dukacita atas perbuatan khianat membakar Surau Al-Huda, pada pagi Subuh 19 November lalu.

“Saya mengecam sekerasnya dan mencela tindakan tidak bertanggungjawab ini yang dilihat sebagai cubaan mencetuskan perasaan tidak tenteram antara kaum, agama dan bangsa dalam kalangan masyarakat majmuk, di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat pelbagai kaum, di negeri ini supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menyemarakkan permusuhan yang akan mewujudkan suasana tidak aman.

“Marilah kita bersama meraikan keunikan dan kepelbagaian yang ada dalam kalangan etnik bangsa, kaum juga agama, di Selangor supaya negeri dicintai ini akan terus aman makmur serta sentosa,” katanya.

Dalam kejadian pada 19 November lalu, dua lelaki dilihat membaling bom petrol (molotov cocktail) ke dalam surau ketika jemaah sedang menunaikan solat Subuh.

Bagaimanapun, saksi kejadian mendedahkan bom petrol berkenaan tidak meletup, manakala kedua suspek sudah ditahan, di Balai Polis Sri Damansara untuk siasatan lanjut.

Kedua suspek itu kini direman dan akan disiasat, di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

*Foto: Berita Harian

Categories
SELANGOR

Pembangunan modal insan penting dalam pendidikan Islam

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri menitikberatkan pembangunan modal insan berkualiti dengan mengupaya sistem pendidikan Islam di Selangor.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pendekatan dijayakan secara bersepadu itu bakal mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negeri itu.

“Kurikulum pendidikan Islam berteraskan al-Quran dan as Sunnah menjadi sandaran serta rujukan utama dalam sistem pendidikan Islam di sekolah agama di Selangor yang diharap mampu menjana insan berilmu, beriman, beramal serta berakhlak mulia.

“Justeru, instrumen pentaksiran dibuat melalui Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) boleh dijadikan sebahagian kayu ukur bagi menilai sejauh mana pencapaian dan kejayaan sesuatu kurikulum itu dilaksanakan,” katanya dalam majlis pengisytiharan keputusan PSRA di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim.

Selain itu, Ahmad Yunus berkata, Kerajaan Negeri juga memberi penekanan terhadap pembangunan fizikal seperti pembinaan sekolah agama baru, masjid dan surau juga infrastruktur di bandar dan luar bandar.

Katanya, Kerajaan Negeri komited terhadap pembangunan pendidikan Islam bagi memenuhi permintaan tinggi ibu bapa yang mengambil berat memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak dari sekolah rendah hingga menengah.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan rakyat khususnya menambah bilangan sekolah agama, meningkatkan kualiti perkhidmatan guru dan kakitangn serta menambah baik prasarana sekolah agar lebih kondusif,” katanya.

Categories
SELANGOR

Exco sanggah dakwaan Mat Taib tak perkasa JAIS, MAIS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri menyanggah dakwaan bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib bahawa kali terakhir undang-undang memperkasakan pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ditambah baik semasa Barisan Nasional (BN) mentadbir, pada 2008.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sejak 2008 sehingga kini pelbagai semakan dan pindaan dilakukan bagi memperkukuh pentadbiran institusi agama Islam di Selangor.

“Kita melakukan dua kali pindaan pada 2011 dan 2015 terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003.

“Peraturan Tauliah 2008 pindaan 2013, Kaedah Pengurusan Wasiat Orang Islam 2008 dan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (2008),” katanya kepada Selangor Kini.

Selain itu, antara semakan yang dibuat adalah mengenai Kaedah Fi dan Kos (Perkahwinan dan Perceraian) 2009, Kaedah-Kaedah Hakam (2011), Peraturan Riqab (2011) dan Peraturan Zakat Fitrah (2012).

Turut diberikan perhatian adalah Kaedah Pentadbiran Waqaf (Pindaan) 2013, Enakmen Waqaf (2015), Enakmen Wasiat (2016), Peraturan Masjid dan Surau (2017) dan Peraturan Muallaf 2009 (pindaan 2017).

Categories
SELANGOR

Jurnal Islam dan Warisan Selangor bakal diterbitkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV: Sebuah jurnal mengenai Islam dan Warisan Selangor akan diterbitkan bagi memperjelaskan beberapa isu khususnya mengenai perpaduan yang kini hangat diperkatakan di semua peringkat.

Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab memupuk keharmonian dan perpaduan khususnya di Selangor.

“Antara usaha dilakukan menperjelaskan isu mengenai Islam yang turut menyentuh soal Islamphobia adalah mengadakan mesyuarat dengan beberapa agensi supaya beberapa laman sesawang (web) dikemaskini untuk bacaan khusus mengenai nilai perpaduaan.

“Jurnal juga akan diterbitkan sebagai bahan bacaan dengan hasrat memupuk perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, hasrat membingkai perpaduan seperti ditegaskan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali wajar disambut baik seperti penganjuran pertemuan dengan tokoh agama lain di bawah program dakwah bagi membincangkan beberapa perkara khususnya untuk memperkukuh perpaduan.