Categories
SELANGOR

Red Giants fokus kerjasama berpasukan walaupun tiada pemain bintang

SHAH ALAM 9 MAC: Kesungguhan pemain bola sepak Selangor meraih kemenangan sulung Liga Super 2015 tanpa kelibat aksi pemain bertaraf bintang membuktikan keupayaan pasukan itu memanfaatkan kerjasama antara mereka.

Pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari berkata pasukan itu bermain satu pasukan dengan cukup baik termasuk pemain simpanan sentiasa bersedia apabila diturunkan.

Red Giants3“Ini yang saya rasa satu kunci kepada pasukan Selangor musim ini,” kata Amirudin dipetik laman sesawang FAS Selangor.

Selangor tanpa kemenangan dalam tiga aksi awal Liga Super musim ini apabila tewas 2-0 kepada Terengganu di tempat lawan, 7 Februari lalu disusuli dua keputusan seri 1-1 ketika bertemu Pahang di Kuantan dan juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) di Shah Alam.

Ditanya adakah kehadiran pengurusan baharu termasuk dirinya yang dilantik sebagai pengurus pasukan dan Noor Hisham Mohd Ghouth sebagai penolong pengurus pasukan sudah mula memberi impak terhadap semangat pasukan, Amirudin lebih mahu memberi pujian terhadap pemainnya.

“Bagi saya, apa yang saya lihat para pemain memberikan seratus peratus komitmen mereka. Ini perkara yang saya cukup suka dengan pasukan ini,” katanya.

Amirudin turut menggariskan tiga faktor yang perlu dikekalkan para pemain Selangor untuk mereka terus mencabar kejuaraan Liga Super musim ini atau sekurang-kurangnya menyamai kejayaan pada dua musim lalu iaitu muncul naib juara.

“Perkara paling utama perlu dikekalkan ialah semangat berpasukan, keduanya sikap berjuang habis-habisan sehingga wisel penamat dan ketiganya sentiasa mengekalkan tahap kecergasan.

“Liga yang panjang ini akan dimenangi pasukan yang memiliki pemain yang mampu mengekalkan tahap kecergasan mereka.

Jika pemain Selangor dapat mengekalkan konsistensi dari segi permainan, saya percaya kami boleh mencabar. Jika bukan No 1 pun, paling tidak mencabar kedudukan kelompok teratas liga,” kata Amirudin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.