Categories
SELANGOR

Sukarelawan Unisel sayu campur teruja agih makanan gelandangan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 MAC: Perasaan sayu berbaur teruja menyelubungi sukarelawan Fakulti Komunikasi Massa Universiti Selangor (Unisel) apabila melihat barisan panjang golongan miskin kota menantikan makanan yang bakal diagihkan.

Salah seorang pelajar tahun dua fakulti yang terlibat dengan program Feed the Homeless itu, Nurul Aiman berkata, keadaan ini menyebabkan beliau mengambil keputusan meneruskan progam ‘Feed the Homeless’ di beberapa kawasan di Selangor yang belum dikenal pasti lagi.

Dapur Jalanan UNISEL (6)“Sedih melihat keadaan masih terdapat ramai golongan tercicir atau warga miskin kota seperti ini walaupun negara kita semakin maju.

“Saya dapati tanggapan tiada siapa ambil kisah nasib mereka kurang tepat kerana saya lihat hari ini ramai khususnya golongan muda yang sanggup jadi sukarelawan,” kata Nurul Aiman kepada Selangor Kini.

Nureleena Rozaini pula memberitahu, program seperti ini wajar diteruskan bagi memastikan nasib golongan kurang bernasib baik ini terus diberi perhatian.

“Program ini patut diteruskan memandangkan ramai yang ingin menyumbang sesuatu kepada golongan yang memerlukan ini.

“Saya dan rakan-rakan juga akan terus sertai program seperti ini sama ada secara berkumpulan atau pun bersendirian nanti,” kata Nureleena.

Sementara itu, pensyarah fakulti sama, Syukri Norsyam pula menjelaskan program yang dijalankan sendiri oleh pelajar tahun dua Fakulti Komunikasi Massa itu merupakan suatu pendedahan yang baik.

“Program ini adalah pilihan mereka sendiri. Mereka berpeluang menimba pengalaman bagaimana menguruskan program kebajikan seperti ini dan mungkin mereka boleh mengendalikan program seumpama ini dengan lebih besar dan berkesan kepada masyarakat,” kata Syukri.

Sementara itu Kordinator Dapur Jalanan, Izwandi Ngadi pula berkata progam seumpama ini membuka ruang kepada generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan.

“Sebenarnya ramai anak muda yang ingin terlibat dalam aktiviti sukarelawan seperti ini tetapi tidak tahu bagaimana. Adanya program seperti ini sesiapa sahaja boleh sertai,” kata Izwandi.

Kata Izwandi lagi, orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan tenaga, makanan atau kewangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Dapur Jalanan di akaun laman sosial facebook Dapur Jalanan Kuala Lumpur.

Program Feed the Homeless pada petang Ahad baru-baru ini diadakan dengan kerjasama pelajar tahun dua Fakulti Komunikasi Massa Universiti Unisel, Team Syed Shahir, kumpulan Novelis dan Dapur Jalanan sendiri.

Selain itu terdapat juga penyertaan secara persendirian baik perseorangan atau dari institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.