Categories
SELANGOR

Warga emas putih mata, ‘polis’ kebas RM30,000

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 11 MAC: Orang ramai diminta berhati-hati terhadap sindiket penipuan terancang yang mensasarkan orang awam khususnya warga emas sebagai mangsa.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, mangsa terbaru sindiket itu adalah seorang warga emas yang tinggal di kawasan berkenaan.

“Pada tengah hari kejadian, anak warga emas itu yang berumur 30-an balik ke rumah dari tempat kerja untuk makan tengah hari.

PC Hannah Yeoh cat 12 blok flat USJ 6 (3)“Tidak berapa lama selepas anaknya keluar semula ke tempat kerja, si ibu menerima panggilan telefon daripada pihak ‘polis’ yang memberitahu anaknya ditahan dalam sekatan jalan raya kerana membawa dadah dalam kenderaannya.

“Polis itu juga memberitahu, si ibu perlu menyerahkan RM30,000 kepada mereka jika mahu melepaskan anaknya daripada hukuman itu,” katanya dalam sidang media, di Subang Perdana Court 2, di sini, hari ini.

Katanya, warga emas itu berasa yakin kerana mendengar suara latar seperti tangisan anaknya ketika sedang bercakap dengan ‘pegawai polis’ berkenaan.

Cubaan warga emas itu menghubungi telefon bimbitnya anaknya juga gagal, sekali gus mengesahkan lagi penangkapan terbabit.

Hannah berkata, akibat panik bercampur perasaan kasih terhadap anaknya, warga emas itu bergegas pergi ke bank mengeluarkan wang RM30,000 dan meletakkannya di hadapan sebuah bank di Taipan USJ seperti diarahkan ‘polis’ terbabit.

“Kemudian, dia hubungi saya dan tanya apa yang perlu dilakukan. Saya hubungi polis dan mendapat maklumat tiada sekatan jalan raya dan penahanan itu.

jenayah 1“Pegawai polis juga memberitahu saya, kejadian menimpa warga emas itu bukan yang pertama tetapi sudah beberapa kali,” katanya.

Polis juga memberitahu sindiket itu menjalankan penipuan dengan modus operandi yang sangat terancang termasuk peralatan canggih hingga mampu menyekat talian telefon milik mangsa dan mengenal pasti profil mangsa dengan terperinci sebelum menjalankan operasi.

“Bagaimanapun, warga emas tadi tidak membuat laporan polis sebab bimbang akan disoal siasat atas cubaan menyogok RM30,000,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.