Categories
SELANGOR

Belum sebulan GST, beban rakyat semakin meningkat

Oleh : AFEEQA AFEERA

KLANG, 20 APR: Belum sebulan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan di negara ini, orang ramai mula mengeluh tidak berpuas hati terhadap peningkatan harga barangan di pasaran.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan, berkata Putrajaya masih belum bersedia melaksanakan GST hingga memaksa rakyat memikul beban kesan daripada pelaksanaan sistem percukaian itu.

kantin sekolah gstKatanya Kerajaan Persekutuan mendahulukan konsep GST tanpa mempedulikan kesannya terhadap rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana

“Beberapa hari ini kita dapat isu pengguna beli beberapa jenis barang dan salah satu daripada barang itu sifar GST tetapi bila bayar dalam bentuk kumpulan, GST turut dikira sama.

“Tiada penyelenggaraan dalam resit untuk mengasingkan barang ada GST atau tanpa GST,” katanya ketika ditemui semasa Program Sukarelawan Selangor di Kapar.

Beliau berkata pelaksanaan GST tidak kena pada masanya, malah akan meningkatkan peratusan jenayah ekoran tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Belum sampai sebulan sudah boleh terasa bebanannya, jadi cukai ini memang perlu dikaji kerana rakyat tidak boleh terus terbeban,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, berkata pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sudah berkempen untuk menentang pelaksanaan GST yang disifatkan menzalimi rakyat.

Katanya GST memberi tekanan khususnya kepada golongan wanita tidak bekerja apabila terpaksa berdepan kenaikan harga keperluan asas makanan.

“GST memberi kesan kepada semua kerana dulu boleh beli banyak sekarang perlu dikurangkan, kualiti barang juga tiada kerana harga barang semakin mahal.

“Jadi, wanita ini kita perlu berikan sedikit pengetahuan dan nasihat perbelanjaan isi rumah supaya mereka dapat selaraskan dengan wang yang ada,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.