Categories
SELANGOR

Jalan Saujana utama dilebar atasi kesesakan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 APR: Jalan keluar Saujana Utama, Sungai Buloh ke simpang utama akan dilebarkan bagi mengatasi masalah kesesakan ketika waktu puncak.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian,dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membuat cadangan penambahbaikan itu selepas pemaju memulakan pembinaan perumahan Elmina West.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sudah memohon peruntukan Rancangan Malaysia ke-11 untuk menaik taraf simpang masuk utama dari jalan persekutuan FT54,” katanya dalam kenyataan , di sini.

Zaidy Abd TalibTerdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Saujana Utama disertai MBSA, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), JKR ngeri, IPD Sungai Buloh dan Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP Zon 6D).

Antara cadangan lain yang diutarakan termasuk meletakkan polis trafik setiap hari, lampu isyarat lebih lama untuk kereta keluar, membuang bonggol dan tidak membenarkan kenderaan berat lalu ketika waktu puncak.

Selain itu, pihak berkaitan digesa menyiapkan persimpangan bertingkat, membina jalan terus ke Lebuhraya Guthrie dan menghentikan kelulusan kepada projek perumahan baru untuk penyelesaian jangka panjang.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, pejabat Exco akan memanggil mesyuarat khas dengan pemaju dan agensi kerajaan berkaitan dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Setiap hari bekerja, penduduk Saujana Utama terpaksa mengambil masa lebih 30 minit untuk keluar ke simpang utama walaupun jaraknya hanya empat kilometer.

Bandar Saujana Utama yang dibangunkan sejak 15 tahun lalu mempunyai lebih 12,000 rumah dan dihuni hampir 40,000 penduduk.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.