Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peluang kerja di Taman Gombak, Saujana Utama hujung minggu ini

SHAH ALAM, 20 NOV: Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 diteruskan lagi hujung minggu ini di Taman Gombak dan Saujana Utama.

Program di Gombak berlangsung esok di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Taman Gombak manakala Ahad di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Saujana Utama.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman dijangka hadir di kedua-dua lokasi berkenaan.

“Program ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar yang hilang pekerjaan akibat penularan Covid-19,” kata pejabat EXCO.

Kelmarin, Khairuddin memaklumkan sebanyak 6,567 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi dua program itu selepas 37 majikan menyertainya. Gombak menyediakan 3,260 peluang pekerjaan manakala 3,307 ditawarkan di Saujana Utama.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September.

Ahad lalu, seramai 20 daripada 100 peserta yang menghadiri temuduga program di Stadium Tertutup Kuala Selangor terus diterima bekerja. Ia akan diteruskan di Hulu Langat pada 29 November dan Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal menerusi:

  • http://nfdot.com/ereg/views/jobfair
  • Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor
  • Instagram Jobs Malaysia Selangor
  • 03-5524 7740 dan 03-5523 1309
Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Persiaran Shorea dibuka tengah malam ini

SHAH ALAM, 28 SEPT: Persiaran Shorea di City of Elmina sepanjang 4.43 kilometer (KM) akan dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula tengah malam ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Datuk Azmir Merican berkata laluan dari Taman Saujana Utama ke pusat bandar Elmina itu memanfaatkan lebih 200,000 penduduk setempat.

“Pengguna jalan raya dari Saujana Utama juga dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan ke akses utama Lebuhraya Koridor Guthrie.

“Di samping membantu penyuraian trafik, jalan ini berupaya menjimatkan masa sebanyak 20 minit bagi penduduk Elmina Green yang mahu ke Elmina Central Park,” katanya pada majlis perasmian di Persiaran Shorea hari ini.

Beliau menjelaskan, persiaran itu juga menghubungkan Elmina Green ke Pusat Bandar Elmina serta membantu penyambungan perjalanan pengguna dari City of Elmina ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) yang dijangka siap akhir tahun ini.

Majlis perasmian disempurnakan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim bersama EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman, Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim serta Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa.

Categories
AGENDA EXCO SELANGOR

Persiaran Shorea bakal atasi kesesakan trafik Saujana Utama

SHAH ALAM, 10 SEPT: Kesesakan lalu lintas ditanggung lebih 200,000 penduduk sekitar Saujana Utama akan berakhir apabila Persiaran Shorea di Elmina dibuka 29 September ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim berkata jalan sepanjang lima kilometer itu menjadi laluan alternatif baharu selain melancarkan aliran trafik dua laluan utama sedia ada.

“Selepas perbincangan dan meneliti semua aspek kita setuju Persiaran Shorea dibuka pada 29 September ini jam 12.30 tengah hari. Dalam tempoh ini kita mahu jalan diselenggara untuk keselamatan.

“Sebelum ini penduduk terpaksa menghadap kesesakan, terperangkap hingga sejam ketika waktu puncak. Setiap hari kita terima aduan dan harap penduduk bersabar untuk 20 hari lagi,” katanya selepas membuat lawatan di sepanjang persiaran berkenaan.

Menurutnya, penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pembukaan jalan yang siap September tahun lalu tertangguh atas faktor keselamatan.

“Ada yang ternak lembu di kawasan ini. Jadi proses memindahkan lembu ini tertangguh dan kita hanya buka selepas pastikan tiada lagi lembu berkeliaran demi keselamatan pengguna.

“Rondaan dilakukan siang dan malam selain kerja menyelenggara dibuat termasuk memastikan tiada saluran tersumbat sebelum jalan digunakan.”

Categories
SELANGOR

Jalan Saujana utama dilebar atasi kesesakan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 APR: Jalan keluar Saujana Utama, Sungai Buloh ke simpang utama akan dilebarkan bagi mengatasi masalah kesesakan ketika waktu puncak.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian,dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan membuat cadangan penambahbaikan itu selepas pemaju memulakan pembinaan perumahan Elmina West.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sudah memohon peruntukan Rancangan Malaysia ke-11 untuk menaik taraf simpang masuk utama dari jalan persekutuan FT54,” katanya dalam kenyataan , di sini.

Zaidy Abd TalibTerdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Saujana Utama disertai MBSA, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), JKR ngeri, IPD Sungai Buloh dan Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP Zon 6D).

Antara cadangan lain yang diutarakan termasuk meletakkan polis trafik setiap hari, lampu isyarat lebih lama untuk kereta keluar, membuang bonggol dan tidak membenarkan kenderaan berat lalu ketika waktu puncak.

Selain itu, pihak berkaitan digesa menyiapkan persimpangan bertingkat, membina jalan terus ke Lebuhraya Guthrie dan menghentikan kelulusan kepada projek perumahan baru untuk penyelesaian jangka panjang.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, pejabat Exco akan memanggil mesyuarat khas dengan pemaju dan agensi kerajaan berkaitan dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Setiap hari bekerja, penduduk Saujana Utama terpaksa mengambil masa lebih 30 minit untuk keluar ke simpang utama walaupun jaraknya hanya empat kilometer.

Bandar Saujana Utama yang dibangunkan sejak 15 tahun lalu mempunyai lebih 12,000 rumah dan dihuni hampir 40,000 penduduk.

-NFN-