Categories
SELANGOR

Laporan Audit: Selangor berjaya kutip RM1.03 bilion premium tanah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 APRIL: Premium tanah sebanyak RM1.03 bilion berjaya dikutip Kerajaan Selangor daripada aktiviti pemberimilikan dan pembangunan tanah Kerajaan hasil pengauditan dilakukan Jabatan Audit Negara.

Mengikut rekod Pejabat Daerah Dan Tanah (PTD) bagi 2010 hingga Julai 2014, sembilan PDT di Selangor menerima sebanyak 1,788 permohonan pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara (KTN) daripada agensi Kerajaan Negeri dan swasta.

LKAN Selangor1Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara untuk Selangor 2014 Siri 1 PTD Gombak mencatatkan prestasi yang baik dalam pengurusan pemberimilikan tanah bagi tujuan pembangunan, sementara PTD Petaling sekadar mencatatkan prestasi memuaskan.

Menurut Jabatan Audit Negara, prestasi pembangunan tanah oleh agensi Kerajaan Negeri dan swasta di PDT Gombak baik kerana 85.7 peratus daripada tanah diberi milik yang dipilih dibangunkan manakala PDT Petaling sekadar mencatatkan 66.7 peratus.

Penilaian prestasi yang dikeluarkan berdasarkan hasil pengauditan antara bulan September hingga November 2014 bagaimanapun menunjukkan pelaksanaan pengurusan pemberimilikan tanah kurang memuaskan.

“Sebanyak empat permohonan masing-masing bagi PDT Gombak dan PDT Petaling lewat diproses berbanding tempoh yang ditetapkan dalam piagam pelanggan.

“Pengurusan terhadap permohonan pemberimilikan tanah yang belum selesai diambil tindakan/diproses boleh ditingkatkan.

LKAN Selangor“Ketepatan premium berjumlah RM1.02 juta yang dikutip oleh PDT Petaling tidak dapat ditentukan kerana dokumen sokongan tidak dikemukakan untuk semakan Audit.

“Selain itu, sejumlah RM39,840 denda khas terlebih dikutip manakala pembayaran hasil tanah berjumlah RM1.05 juta diterima PDT Petaling walaupun tempoh sah laku Borang 5A (Notis Bahawa Hasil Tanah Harus Dibayar) tamat,” katanya.

Pemberimilikan tanah Kerajaan kepada pemohon termasuk agensi Kerajaan Negeri dan swasta bertujuan untuk diusahakan dengan aktiviti pertanian, pembinaan bangunan dan operasi perindustrian supaya Kerajaan Negeri boleh mengutip hasil tanah dan rakyat mendapat faedah daripada aktiviti pembangunan tanah.

Dari segi pemantauan dan penguatkuasaan, penemuan Jabatan Audit mendapati ia kurang berkesan kerana kaedah pemantauan tidak mencukupi manakala prestasi penyelesaian aduan pelanggan tidak dapat diukur.

“Bagi memastikan pengurusan pemberimilikan tanah kepada agensi Kerajaan Negeri dan swasta dilaksanakan dengan lebih berkesan, Audit mengesyorkan Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) mengambil tindakan menetapkan piagam pelanggan bagi setiap peringkat pemprosesan pemberimilikan tanah dan memastikan permohonan diselesaikan mengikut piagam pelanggan ditetapkan.

“Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan perlu ditingkatkan bagi memastikan tanah beri milik dibangunkan selaras dengan syarat pembangunan dan lain-lain syarat kelulusan yang ditetapkan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.